Kempen 100,000 tiket untuk petugas kesihatan
LONDON,. Brighton and Hove Albion memulakan kempen 100,000 tiket percuma buat petugas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebagai tanda ‘terima kasih’ atas perkhidmatan mereka ketika penularan wabak coronavirus.
Selepas Brighton terlebih dahulu menjanjikan 1,000 tiket buat pekerja kesihatan, Bournemouth muncul pasukan kedua yang menyertai inisiatif itu.
‘The Seagulls’ kini menjemput pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bolasepak England (EFL), Liga Perdana Scotland (SPL) dan Ireland Utara untuk turut serta dalam usaha terbabit.
Ketua Eksekutif Brighton, Paul Barber, berkata ‘kami tahu bola sepak menjadi perkara terakhir buat semua orang ketika ini.
“Namun kami berfikir bahawa kami perlu sekurang kurangnya memberikan sesuatu kepada kakitangan NHS yang bekerja keras menghadapi situasi ketika ini.
“Jika semua 92 pasukan dapat memberikan 1,000 tiket dan pasukan SPL serta Liga Ireland juga berbuat demikian, dengan mudah kita boleh mendapat 100,000 tiket untuk wira kita ini.
“Kita melihat banyak inisiatif menarik daripada pasukan di seluruh dunia dan saya mengharapkan lebih banyak lagi daripada keluarga bola sepak.”
Pengerusi Bournemouth, Jeff Mostyn berkata ‘kami berbesar hati mengikut jejak langkah Brighton dan bersetuju memberikan 1,000 tiket. Kami mahu menyampaikan baton kepada pasukan lain supaya dapat mencapai sasaran diinginkan bagi memberi penghargaan kepada petugas NHS’.
Kedua dua pasukan akan menyerahkan tiket terbabit selepas saingan bola sepak diteruskan semula. – Agensi