Kempen penanaman 100 juta pokok pelawa syarikat korporat, individu hulur sumbangan

Kempen penanaman 100 juta pokok pelawa syarikat korporat, individu hulur sumbangan

PUTRA JAYA,. SYARIKAT korporat dan individu digalakkan menyumbang kepada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 bagi menyokong agenda penghijauan Malaysia untuk perubahan iklim dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia (YHM) Amin Abdullah berkata, dana boleh disalurkan kepada YHM yang berperanan mengumpul dana bagi aktiviti penanaman, bekalan anak pokok dan penyelenggaraan selepas tanaman.

Beliau berkata, setiap penyumbang layak untuk menuntut faedah pengecualian cukai yang disediakan dalam Kategori Pembangunan Teknologi Hijau dan Pemuliharaan Alam Sekitar di bawah Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pengecualian cukai adalah sehingga 10 peratus jumlah pendapatan agregat untuk syarikat korporat dan tujuh peratus daripada jumlah pendapatan bagi individu,” katanya kepada Bernama, di Putrajaya, kelmarin.

Bagi syarikat korporat, katanya terdapat beberapa pakej yang disediakan di bawah kempen itu dengan harga bermula RM50,000 hingga RM1 juta mengikut jumlah pokok dan kategori pokok yang ditaja serta kerja-kerja penyelenggaraan selama dua tahun.

Amin berkata, kontraktor atau vendor yang dilantik akan menanam pokok dan melaksanakan penyelenggaraan seperti pembajaan dan rawatan serta menyediakan laporan mengenai status pokok yang ditanam kepada syarikat yang menaja pokok berkenaan.

“Di YHM kami ingin memastikan pokok ini terus dijaga dan hidup. Kami menetapkan standard setiap pokok yang ditanam sekurang-kurangnya setinggi 1.5 meter,” katanya.

Menurutnya, jenis pokok yang ditetapkan di bawah kempen itu meliputi semua tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun dengan kategori pokok ditetapkan untuk ditaja syarikat korporat ialah pokok hutan, bakau atau landskap.

“Bagi pokok hutan kami akan buat penanaman semula di kawasan terpilih, manakala bakau kita tahu ekosistem banyak di tepi pantai. Kategori landskap pula di bandar atau kawasan perumahan dengan jenis pokok yang dipilih bersesuaian dengan ekosistem,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan kawasan dan jenis pokok dilaksanakan atas nasihat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Perhutanan Sabah dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.

Bagi individu pula, Amin berkata selain menyumbang terus kepada YHM, mereka juga boleh menanam sendiri pokok di kawasan pilihan mereka dan memasukkan data pokok berkenaan di laman sesawang www.100jutapokok.gov.my atau aplikasi Penghijauan Malaysia yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Store.

“Kalau dia tanam pokok contohnya buah-buahan seperti rambutan pun boleh. Kemudian ambil gambar pokok itu dan muat naik ke dalam aplikasi. Sistem kami akan kemas kini jumlah pokok yang telah ditanam,” katanya.

Menurutnya setakat ini, aplikasi itu menunjukkan sebanyak 160,815 pokok telah ditanam di atas kawasan seluas 485 hektar dan individu yang paling banyak menanam pokok.

“Ini satu daripada usaha kami menggalakkan minat membudayakan menanam pokok dalam kalangan generasi muda,” katanya sambil menambah pokok tajaan syarikat korporat yang telah ditanam turut dikemas kini di aplikasi berkenaan.

Amin berkata, syarikat korporat atau individu yang ingin menyumbang boleh menghubungi YHM melalui talian 03-8861 7811 atau e-mel kepada Dr Rafidah Rashid (rafid[email protected]), Hafizan Ahmad ([email protected]) atau Nur Hidayah Husni ([email protected]).

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Januari lepas dianggarkan mampu memulihara 20,000 hingga 80,000 hektar kawasan hutan menjelang 2025 dan menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )