Kemudahan Lapangan Terbang Pulau Pinang masih mampu kendali permintaan penumpang, kargo

Kemudahan Lapangan Terbang Pulau Pinang masih mampu kendali permintaan penumpang, kargo

PUTRAJAYA,. Kementerian Pengangkutan (MOT) berpandangan kemudahan sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masih mampu mengendalikan permintaan kargo dan penumpang berdasarkan dapatan konsultan Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP).

Pada masa sama, MOT berkata ia tiada halangan berhubung cadangan pelaksanaan Pusat Kecemerlangan MRO Kedah Aerotropolis (KAAMROCE) dan hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM) sebagai sebahagian daripada pembangunan bercampur di bawah Kedah Aerotropolis tetapi tiada keperluan buat masa ini untuk sebuah lapangan terbang baharu dibangunkan.

Kerajaan Negeri Kedah wajar menjadikan lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar atau LTAPP sebagai fasiliti yang menyokong pelaksanaan KAAMROCE dan SLAM bagi membolehkan projek itu dilaksanakan segera, katanya.

Kenyataan MOT pada Sabtu adalah sebagai penjelasan dan pendirian kerajaan berhubung isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan menindas mana-mana negeri dalam soal penyaluran peruntukan mahupun pembangunan termasuk dalam isu pembinaan KXP.

MOT berkata pada masa ini ia sedang melaksanakan Kajian NASP yang dijangka siap pada akhir tahun ini antara lain bertujuan menentukan hala tuju pembangunan lapangan terbang di Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur fizikal, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik agar pembangunan sesebuah lapangan terbang itu dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan sebenar bersandarkan kepada data sahih dan tepat.

“LTAPP pada masa ini masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk mengendalikan sebarang peningkatan dari segi pengendalian penumpang sehingga 20 juta penumpang setahun (mppa) sehingga tahun 2042.

Dalam hubungan ini, lapangan terbang baharu iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) hanya boleh dipertimbangkan untuk dibina selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta mppa yang diunjurkan pada tahun 2042. Perlu ditekankan bahawa setakat ini, tiada sebarang cadangan penyertaan swasta yang mampu membiayai kos projek KXP,” menurut MOT.

Berdasarkan perbandingan unjuran kargo KXP yang disediakan oleh pihak KXP Airportcity dan unjuran LTAPP yang disediakan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula, MOT berkata unjuran kargo KXP yang dicadangkan didapati agak tinggi bagi sebuah lapangan terbang baharu, berbanding dengan unjuran kargo di LTAPP yang merupakan sebuah lapangan terbang yang telah lama beroperasi dengan jaringan kesalinghubungan udara yang telah meluas
“Dalam hal ini, KXP merupakan sebuah lapangan terbang yang baharu dan bukan merupakan sebuah lapangan terbang sedia ada yang mempunyai infrastruktur serta jaringan kesalinghubungan yang telah tersedia dan meluas.

Justeru itu, kemampuan KXP sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa kargo berasaskan kepada unjuran kargo yang disediakan oleh KXP Airportcity boleh dipertikaikan dan adalah kurang tepat,” kata MOT.

MOT dalam pada itu berkata dapatan kajian NASP menunjukkan sebanyak 92 peratus kargo yang dikendalikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah daripada perkhidmatan penerbangan penumpang melalui “belly cargo”, manakala hanya lapan peratus sahaja kargo yang dikendalikan oleh perkhidmatan penerbangan penuh kargo.

Ia jelas menggambarkan bahawa kebergantungan KXP terhadap perkhidmatan penerbangan penuh kargo semata-mata tidak akan memberikan lonjakan yang besar kepada KXP untuk menjadi sebuah lapangan terbang kargo yang berdaya maju, sebaliknya KXP perlu juga bergantung kepada perkhidmatan penerbangan penumpang untuk mengangkut kargo.

MOT juga berkata ia sentiasa mengambil sikap terbuka terhadap sebarang cadangan pembangunan daripada kerajaan negeri mahupun pihak pelabur swasta yang membawa manfaat ekonomi, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan yang lestari tetapi dalam masa yang sama ia akan meneliti secara mendalam mana-mana pembangunan termasuk lapangan terbang bagi memastikan projek berkenaan berdaya maju dan berdaya tahan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )