Kenaikan gaji minimum setiap dua tahun cerminkan realiti ekonomi semasa

Kenaikan gaji minimum setiap dua tahun cerminkan realiti ekonomi semasa

KUALA LUMPUR,. Menaikkan gaji minimum setiap dua tahun akan mencerminkan realiti ekonomi semasa, demikian menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Dr Juita Mohamad, Pemangku Pengarah Penyelidikan dan Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan IDEAS berkata gaji peringkat kemasukan telah kekal pada paras yang sama sekurang-kurangnya 15 tahun dan gaji tidak berkembang secara organik memandangkan persatuan perdagangan, serta persatuan pekerja tidak mempunyai kuasa yang kuat untuk merundingkan faedah gaji dan bukan gaji di tempat kerja.

“Dengan tiadanya cara lain untuk merundingkan perihal gaji, undang-undang gaji minimum adalah satu-satunya cara untuk kenaikan gaji di negara ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini mengumumkan gaji minimum sekitar RM1,500 sebulan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Menurut menteri itu, kadar baharu itu masih belum dimuktamadkan kerana kementerian sedang menunggu kelulusan Kabinet dan menyatakan isu itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

Juita berkata sebarang semakan gaji minimum perlu mencerminkan inflasi, serta peningkatan kos sara dan taraf hidup semasa.

“Gaji harus dinaikkan mengikut wilayah atau pekerjaan dan sektor supaya ia mengambil kira permintaan dan penawaran sektor tertentu serta mencerminkan kos sara hidup kawasan tertentu. Tetapi kenaikan itu harus tepat pada masanya dan berkala,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata instrumen dan dasar lain juga perlu digunakan untuk memastikan harga tidak meningkat secara drastik sambil menambah menetapkan siling harga bagi barangan terpilih dan menggunakan subsidi mungkin membantu.

Juita seterusnya menyatakan gaji minimum harus menjadi garis panduan untuk majikan dari segi pampasan tetapi majikan perlu ingat bahawa ini tidak semestinya menggambarkan kos sara hidup sebenar dan faktor seperti inflasi.

Gaji Minimum dan Pemulihan Ekonomi

Kenaikan gaji minimum yang dicadangkan telah menimbulkan bantahan daripada pihak persatuan yang mewakili industri dan majikan.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mengulangi bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Sementara itu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan daripada RM1,200 sekarang, sambil menyatakan pelarasan gaji mesti dilakukan secara progresif.

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata cadangan untuk menaikkan gaji minimum sebanyak 25 peratus kepada RM1,500 akan memberi kesan yang tidak diingini kepada ekonomi terutamanya dalam keadaan sekarang.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula memberitahu Bernama sekiranya gaji minimum dilaksanakan segera, ia akan memberi kesan kepada kos operasi perniagaan pada masa pemulihan ekonomi masih lemah.

“Saya rasa kerajaan perlu mengambil sikap berkecuali dalam hal ini dan menilai secara terperinci keupayaan industri untuk menaikkan gaji minimum. Walau apa pun keputusannya, ia juga harus berdasarkan fakta,” tambahnya.

Tekanan Inflasi

Inflasi Malaysia, seperti yang diukur oleh indeks harga pengguna, meningkat 3.2 peratus pada Disember 2021 berbanding tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga makanan dan bahan api serta kesan asas.

Peningkatan IHP sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun pada Disember 2021 sebahagiannya menyumbang kepada lonjakan negara ke inflasi tahunan 2021 pada 2.5 peratus berbanding deflasi 1.2 peratus pada 2020 ketika negara berdepan dengan faktor-faktor termasuk varian Omicron dan kekurangan bekalan makanan disebabkan oleh musim hujan lebat.

Juita berkata kenaikan inflasi semasa adalah isu di seluruh dunia, berpunca daripada permintaan global yang lebih kukuh dan harga tenaga yang lebih tinggi, selepas dua tahun memerangi pandemik melalui pelaksanaan sekatan pergerakan.

“Pandemik dan sekatan pergerakan membawa kepada kejutan permintaan dan bekalan pada skala global. Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak terlepas daripada kesan buruk yang ditimbulkan oleh pandemik itu,” tambahnya.

Tekanan inflasi serta ditambah lagi dengan banjir yang melanda negara baru-baru ini, memberi tekanan dalam bekalan barangan keperluan terpilih keluaran tempatan.

Bagi meminimumkan kesan negatif kenaikan harga kepada pengguna dalam jangka pendek, Juita mencadangkan dasar fiskal termasuk subsidi dan siling harga boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya, instrumen dan intervensi ini perlu diperkenalkan pada masa yang tepat memandangkan terdapat potensi peningkatan ambang gaji minimum tahun ini kepada RM1,500 sebulan,” kata Juita.

Bank Negara Malaysia mempunyai kuasa untuk melaraskan kadar faedah bagi memastikan tekanan inflasi dapat dielakkan, tambahnya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)