Kenaikan kadar pos beri pulangan tertunggak kepada Pos Malaysia

Kenaikan kadar pos beri pulangan tertunggak kepada Pos Malaysia

KUALA LUMPUR,. Kenaikan kadar pos telah memberi pulangan tarif yang tertunggak selama 10 tahun kepada Pos Malaysia Bhd, kata bekas Pengerusi Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia Datuk Mohd Redza Shah.

“Tarif pos kita mungkin merupakan antara yang termurah di dunia, ia juga menjadi penyebab utama yang menjelaskan kepada anda bahawa sudah sampai masa untuk membuat perubahan,” katanya kepada Bernama.

Sekarang ini sudah wujud banyak pembangunan perumahan baharu yang memerlukan lebih banyak penghantaran surat, oleh itu, kos penghantaran menjadi lebih tinggi.

Beliau menerangkan, perniagaan kurier Pos Malaysia membabitkan penghantaran barangan ke mana-mana tempat di negara ini termasuk di luar bandar.

“Syarikat seperti DHL dan lain-lain (sebaliknya) tidak membuat penghantaran sedemikian, mereka memilih… jika melibatkan kawasan terpencil, mereka tidak mahu menanggung kos yang tidak memberikan perkhidmatan yang tidak menguntungkan. Tanggungjawab ini terpaksa dipikul oleh Pos Malaysia.

“Dalam industri perbankan pula, daripada segi kos penghataran surat-menyurat, mereka telah membuat banyak penjimatan memandangkan bil kini dihantar dalam talian dan bank menggalakkan pelanggan mereka untuk melakukan semakan penyata atas talian.

“Bagaimanapun, sesetengah pelanggan mungkin meminta penyata mereka dihantar setiap enam bulan. Jadi, pada dasarnya, ia bergantung di atas permintaan pelanggan,” katanya sambil menambah bahawa kos menghantar penyata adalah sangat tinggi kerana penyata terpaksa dicetak dan dilipat, malahan ia mempunyai keburukan jika ia dibuka oleh orang lain, maklumat pemilik akaun akan terbongkar.

Beliau menggalakkan orang ramai untuk memilih penyata dalam talian bagi mengelakkan sebarang isu kerahsiaan.

Satu-satunya keadaan yang melibatkan kos penggunaan pos adalah apabila pelanggan tidak melunaskan tanggungjawab mereka, jadi pihak bank terpaksa memberi peringatan melalui telefon beserta peringatan fizikal dalam bentuk kenyataan atau emel.

Beliau ketika ditanya siapa yang perlu menanggung kos-kos ini, menjelaskan ia sebenarnya dibayar oleh pelanggan sendiri kerana mereka yang bersetuju untuk berbuat demikian melalui opsyen penerimaan penyata, sama ada secara tradisional atau bil elektronik.

“Sama seperti menggunakan buku cek, jika anda ingin menggunakan buku cek, pihak bank akan mengenakan caj 50 sen (untuk memproses cek), tetapi anda diberi pilihan untuk membuat pemindahan dalam talian tanpa sebarang kos. Pada pendapat saya, pengguna perlu menyerap kos-kos ini kerana opsyen sudah diberikan kepada mereka,” katanya.

Semalam, Pos Malaysia telah mengumumkan kadar pos baharu untuk surat berdaftar, mel komersil dan bungkusan kecil di bawah dua kilogram, berkuatkuasa 1 Feb 2020.

Kadar baharu ini disebabkan daripada kenaikan kos operasi serta peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Universal Postal Union.

Kadar setem untuk mel komersil akan meningkat sebanyak 70 sen kepada RM1.30 dan harga bagi peti surat peribadi komersil akan naik sebanyak RM150 kepada RM200 setahun, sementara pos mel berdaftar komersial akan bertambah sebanyak 90 sen kepada RM3.10 dan mel berdaftar bukan komersil dinaikkan sebanyak 20 sen kepada RM2.40.

Kenaikan harga bungkusan kecil di bawah 2 kilogram dibuat berdasarkan kepada keputusan kongres luar biasa UPU di Geneva pada September 2019, yang mana perkhidmatan pos antarabangsa menyaksikan peningkatan dalam kos batuan terakhir sehingga 30 peratus mulai Januari 2020, manakala penghantaran batuan terakhir di Amerika Syarikat menokok sebanyak 210 peratus pada Julai 2020.

Pos Malaysia berkata, kadar pos untuk pengguna mel peribadi dan bukan komersial akan dikekalkan pada tahap 60 sen. Harga peti surat peribadi bukan komersil turut tidak berubah.

Kali terakhir, tarif pos mengalami perubahan adalah pada 2010.

Sebelum ini, RHB Investment Bank menjangkakan Pos Malaysia Bhd akan mencatatkan pemulihan dan meraih keuntungan dalam tempoh terdekat berikutan kenaikan kadar pos.

“Disebabkan perubahan kadar, kami mengunjurkan Pos Malaysia akan merekodkan keuntungan dalam tahun kewangan 2021, dirangsang oleh pemulihan dalam pendapatan perkhidmatan pos serta perniagaan antarabangsa, yang telah mencatat kerugian bersegmen sebanyak RM115.7 juta dan RM16 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2020,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Nurul Hanis Izmir

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )