Kenanga Research jangka penggunaan 5G perlahan

Kenanga Research jangka penggunaan 5G perlahan

KUALA LUMPUR,. Penggunaan rangkaian generasi kelima (5G) di Malaysia dijangka perlahan, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga Research).

Dalam nota penyelidikan, katanya unifi mudah alih dan YES kekal sebagai satu-satunya pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dengan perkhidmatan 5G.

“Walaupun unifi dan YES membuat langkah pertama, MNO utama (Celcom, Digi, Maxis dan Umobile) tidak tergesa-gesa menyertai Rangkaian Borong Tunggal (SWN) Digital Nasional Bhd (DNB)” katanya.

Kenanga Research berkata rundingan antara DNB dan MNO masih berterusan, dan DNB semakin akur dengan permintaan MNO.

“Selain itu, bukan semua peranti 5G sesuai. Telefon tertentu, iaitu iPhone Apple yang popular, belum lagi sesuai dengan rangkaian 5G DNB, berikutan perlu ada pensijilan peranti dan kemas kini perisian daripada pengeluar peranti untuk membolehkan sambungan kepada rangkaian 5G DNB,” katanya.

Katanya berbanding rakan serantau di Asia Tenggara dan Asia Timur, Malaysia ketinggalan dalam pelaksanaan 5G, berikutan kebanyakan ekonomi serantau telah melancarkan 5G pada 2019 dan 2020.

YES dan unifi mudah alih menjadi dua pengendali pertama mendaftar kepada SWN DNB pada minggu lepas, dengan YES mengiklankan pakej 5G sebagai yang pertama di Malaysia.

“Walaupun terdapat harapan bahawa pihak-pihak yang berkaitan (MNO, DNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat mencapai kata sepakat dan menandatangani perjanjian pada suku pertama tahun kalendar 2022, kami terus berhati-hati dan percaya mungkin terdapat kelewatan,” katanya.

Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan saranan neutral ke atas sektor telekomunikasi berikutan pembetulan harga saham DIGI dan MAXIS.

“Kami menaikkan saranan DIGI dan MAXIS kepada ‘prestasi pasaran’ daripada ‘kurang berprestasi’. Kami percaya pasaran telah mengambil kira perkembangan negatif baru-baru ini.

“Walaupun terdapat pertimbangan yang berpotensi daripada komponen Celcom-Digi, kami memilih Axiata untuk prospek jangka panjangnya yang menggalakkan daripada pendedahan serantaunya, tawaran awam permulaan edotco masa depan,” katanya.

Telekom Malaysia (TM) kekal sebagai pilihan Kenanga Research untuk sektor tersebut, mengekalkan saranan ‘prestasi lebih baik’ ke atas TM.

Ia turut mengekalkan saranan ‘prestasi pasaran’ ke atas OCK Group Bhd sehingga keuntungan bertambah baik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)