Kenny dipilih ahli majlis BWF, cadangan tukar sistem pemarkahan gagal

Kenny dipilih ahli majlis BWF, cadangan tukar sistem pemarkahan gagal

KUALA LUMPUR,. Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh telah dipilih sebagai ahli majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2021-2024.

Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) BWF ke-82 yang diadakan secara maya semalam, Kenny mendapat 218 undi dan antara 20 yang dipilih sebagai ahli majlis.

Daripada jumlah itu, lapan adalah dari Asia, tujuh dari Eropah, dua masing-masing dari Pan Amerika dan Afrika dan seorang dari Oceania, menurut BWF dalam kenyataan pada Sabtu malam.

Poul-Erik Hoyer Larsen, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996, dipilih semula sebagai Presiden selepas tiada pencalonan lain diterima, turut sama diumumkan menang tanpa bertanding adalah Timbalan Presiden BWF Khunying Patama Leeswadtrakul dan Naib Presiden (Badminton Para) Paul Kurzo.

Sementara itu, cadangan untuk menukar sistem pemarkahan semasa 3×21 kepada 5×11, seperti yang diaspirasikan oleh Hoyer, gagal apabila hanya 66.31 peratus menyokong manakala 33.69 peratus menentang daripada keseluruhan 282 undi.

Cadangan itu, diusulkan oleh Persatuan Badminton Indonesia dan Persatuan Badminton Maldives baru-baru ini, dan disokong oleh Badminton Asia, Persatuan Badminton Korea dan Persatuan Badminton Taiwan, gagal untuk dilaksanakan kerana kekurangan majoriti dua pertiga yang diperlukan.

“Ini merupakan kali kedua cadangan seumpama ini tidak diluluskan, tetapi saya melihat penyertaan hebat ahli dan keputusan yang dicapai hari ini adalah petunjuk bahawa komuniti badminton sangat terlibat demi kepentingan terbaik sukan ini pada waktu-waktu sukar dan mencabar ini.

“Jadi, untuk itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas peranan mereka dalam proses ini.

“Walaupun cadangan perubahan sistem pemarkahan menjadi sebahagian daripada visi saya untuk menjadikan badminton lebih menarik dan meningkatkan nilai hiburan untuk pemegang taruh dan peminat.

“Ini tidak akan menghalang kami daripada meneruskan usaha kami untuk meningkatkan kecemerlangan badminton untuk semua yang berkenaan selaras dengan Pelan Strategik 2020-2024 kami,” kata Hoyer dalam kenyataan sama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)