Keputusan beri kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin dibuat dengan hati-hati – Muhyiddin
KUALA LUMPUR,. Keputusan memberi kemudahan kepada individu yang menerima dua dos vaksinasi lengkap dibuat dengan sangat berhati-hati, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata ia adalah selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang diguna pakai di seluruh dunia.
“Keputusan pemberian kemudahan ini semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian.
Namun, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara,” katanya dalam pengumuman khas mengenai kelonggaran kemudahan itu hari ini.
Beliau berkata penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus COVID-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif COVID-19 sebanyak 50 peratus.
Muhyiddin menjelaskan seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah melengkapkan vaksinasinya apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.
Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan untuk diktiraf sebagai telah melengkapkan vaksinasinya.
Memahami permintaan orang ramai yang ingin kembali menunaikan solat di masjid dan surau, Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ia terpakai ke atas semua fasa dalam PPN.
Beliau berkata pihak masjid dan surau perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan memastikan jemaah terus pulang setelah selesai menunaikan solat.
“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
”Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat dan ia tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri serta Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam,” katanya.
— Bernama