Keputusan MT beri kestabilan kepada UMNO untuk berdepan PRU15 – Penganalisis

Keputusan MT beri kestabilan kepada UMNO untuk berdepan PRU15 – Penganalisis

KUALA LUMPUR,. Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri, mampu memberikan kestabilan kepada parti itu berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain menamatkan spekulasi mengenai masa depan pemimpin berkenaan.

Penganalisis politik berpandangan, langkah itu meletakkan UMNO selangkah di hadapan berbanding pesaingnya, serta mengelak perpecahan dan konflik dalaman yang akan menyukarkan parti itu bergerak sebagai satu pasukan yang kuat.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata keputusan menjadikan Ismail Sabri sebagai poster boy, melenyapkan cakap-cakap bahawa Naib Presiden UMNO itu tidak akan menjadi calon perdana menteri pada PRU15.

Beliau berkata ini sekali gus menutup ruang untuk UMNO menerima serangan dari dalam dan luar parti.

“Dengan keputusan MT ini, ahli akar umbi dan semua peringkat kepimpinan perlu akur dan bergerak sebagai satu pasukan untuk memenangi pilihan raya umum.

“Kewujudan kem-kem tertentu boleh melemahkan parti, dan memberi ruang parti politik lain mengambil kesempatan atas kelemahan UMNO,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelmarin, sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri pada PRU15.

Mesyuarat berkenaan turut membuat beberapa ketetapan lain iaitu, pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi, dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkannya mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya kepada bentuk perundangan lain.

Ahmad Marthada berkata pemilihan Ismail Sabri amat tepat, kerana mempunyai pengalaman mentadbir negara sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lepas, sekali gus mampu meneruskan kesinambungan pentadbirannya.
Tambahnya selain berjaya mewujudkan kestabilan politik dengan pemeteraian memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), Ismail Sabri turut membawa Malaysia mengharungi pandemik COVID-19 sehingga negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik, yang menyaksikan kehidupan rakyat hampir kembali seperti biasa.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berkata UMNO dan BN, mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya kerana telah mengemukakan calon perdana menteri lebih awal, berbanding pihak lain.

Beliau berpendapat pemilihan Ismail Sabri berbanding pemimpin lain dalam UMNO adalah rasional, memandangkan Ahli Parlimen Bera itu mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

“Ini juga bermakna UMNO mengutamakan kesinambungan, kerana Ismail Sabri merupakan perdana menteri pada masa ini dan sudah mempunyai pengalaman dalam kerajaan semasa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)