Keputusan PKP : Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa

Keputusan PKP : Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dan Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh

Diam tak diam, sudah lebih setahun rakyat Malaysia dan penduduk dunia berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat, COVID-19. Menoleh ke belakang, di sebalik kepayahan, ada hikmah yang tidak boleh dinafikan.

Sejak tercetusnya pandemik ini di Malaysia, ramai yang terkesan. Bukan hanya golongan dewasa, bahkan anak kecil juga merasainya.

“Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa.” Begitulah perumpamaan yang berlaku sekarang apabila negara kini berada dalam keadaan dilema antara pemulihan ekonomi atau membendung penularan COVID-19.

Penilaian holistik

Ramai mempersoalkan malah ada yang marah kepada kerajaan apabila tiada pengumuman mengenai PKP 3.0 yang menyeluruh akan tetapi sebaliknya dihidangkan pula dengan PKP yang diperketatkan. Bukan mudah mentadbir negara, apatah lagi Maqasid Syariah perlu didaulatkan agar kemudaratan boleh diminimumkan impaknya.

Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga dengan memberi kelonggaran secara lebih berfokus terutama kepada sektor penjanaan ekonomi, adalah sesuatu yang sukar tetapi perlu dibuat untuk mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan kelangsungan hidup rakyat itu sendiri.

Kita tidak mahu angka kematian rakyat akibat COVID-19 semakin meningkat, dan kita juga tidak mahu melihat mereka mati kerana tidak makan.

Walaupun negara cuba membantu rakyat dengan pelbagai rangsangan dan bantuan ekonomi tetapi tidak ada satu pun negara yang mampu melaksanakan PKP berbulan-bulan lamanya tanpa sebarang kesan ekonomi dan dalam keadaan sekarang negara mungkin boleh jadi muflis. Sebagai contoh, ketika PKP dulu, negara kerugian RM2.4 bilion setiap hari akibat aktiviti industri yang terhad.

Kerajaan juga perlu mengambil kira sebilangan besar rakyat yang bergantung pada pendapatan harian baik melalui berniaga kecilan mahupun mengambil upah bagi menampung keperluan kehidupan seharian.

Cabaran dan impak ekonomi perlu diambil kira

Kumpulan yang paling banyak terkesan adalah mereka yang tidak bekerja tetap terutamanya peniaga kecil-kecilan atau syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang rata-ratanya mempunyai aliran stok modal yang kecil dan hanya dapat bertahan untuk satu tempoh jangka masa pendek sahaja.

Kaji selidik yang telah dijalankan oleh Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) meramalkan kira-kira 40 peratus syarikat PKS akan berhenti beroperasi sekiranya PKPB berlanjutan antara 3 hingga 6 bulan.

Manakala, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menganggarkan lebih 53 peratus atau kira-kira 450,000 usahawan Melayu daripada keseluruhan seramai 960,000 orang yang berdaftar dengan SME Corp terjejas susulan COVID-19 dan tak akan mampu bertahan lebih dua bulan tanpa bantuan kerajaan.

Bagi kes yang agak ekstrem, terdapat individu yang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan. Tidak semua yang bernasib baik akibat pandemik COVID-19 ini. Keadaan ini sudah pasti akan menyebabkan jurang pendapatan menjadi semakin melebar.

Tanggungjawab kolektif

Maka, kita juga harus menyusun langkah yang praktikal untuk menghadapinya.cKita juga harus memahami bahawa norma baharu yang kita maksudkan adalah kebiasaan baharu yang termasuk dalam istilah kebijaksanaan untuk melakukan perubahan dinamik dari segi kualiti, cara berfikir dan cara bertindak.

Apatah lagi keputusan kerajaan tidak membenarkan orang ramai pulang beraya itu wajar diambil dari sudut positif kerana ibubapa dalam kalangan warga emas yang rentan, diketahui memiliki sistem imunisasi yang lemah dan sangat terdedah kepada serangan wabak itu, sekali gus menambahkan rantaian COVID-19.

Apa yang penting sekarang ialah kefahaman dan pematuhan semua pihak mengenai SOP yang dilaksanakan. Kita mahukan gerai nasi lemak, Makcik Kiah terus beroperasi, pada masa yang sama kita dambakan pembeli, beratur dalam jarak yang ditentukan, memakai pelitup muka dan sentiasa sanitasi tangan. Manakala Makcik Kiah dan pekerjanya juga harus patuh peraturan-peraturan yang sama agar ekonomi dijana kesihatan terjaga.

Hanya dengan kerjasama bersama ini, negara boleh keluar dari kemelut pendemik COVID-19, kalau dahulu kita boleh berjaya, mengapa sekarang kita tidak boleh? Kata kunci masih lagi sama, kurangkan keluar rumah, minimakan aktiviti sosial, pastikan kebersihan diri dan jaga jarak.

Sebenarnya semua ini boleh dilakukan tanpa perlu sebarang penguatkuasaan yang ketat dan membebankan kalau semua rakyat sedar dan prihatin betapa bahayanya virus ini dan berdasarkan prinsip #kitajagakita serta mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi kita terus patuh kepada SOP yang telah ditetapkan untuk menyelamatkan rakyat dan negara kita supaya boleh kembali menjadi sebuah negara yang kita banggakan dahulu.

Patuh SOP, kita harus menang !

Walaupun vaksin COVID-19 sudah ditemui, namun SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi. Banyak negeri dan kawasan yang berdepan dengan peningkatan kes, namun aktiviti harian perlu diteruskan.

Kejayaan negara yang pernah melandaikan keluk COVID-19 dan dalam masa yang sama merancakkan semula ekonomi sangat bergantung pada peranan semua pihak. Ia memerlukan tanggungjawab bersama secara kolektif bagi memastikan negara dapat bebas dari COVID-19 dan langkah pemulihan ekonomi dapat diteruskan secepat mungkin.

— BERNAMA

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri merupakan Ketua Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia.

Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh merupakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)