Keputusan sama ada mansuh daftar masuk MySejahtera dalam dua minggu lagi

Keputusan sama ada mansuh daftar masuk MySejahtera dalam dua minggu lagi

KUALA LUMPUR,. Keputusan untuk melonggarkan syarat daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera akan dimaklumkan dalam masa satu hingga dua minggu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara itu mengambil kira perkembangan semasa negara yang telah melepasi kemuncak gelombang Omicron dan kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

“… untuk fasa peralihan ini, sama ada kami berpuas hati dengan trend jangkitan yang tidak perlu lagi kepada pengesanan secara mikro, atau kita berani untuk melonggarkan daftar masuk MySejahtera, kita akan buat (keputusan).

“KKM sedang pantau dari segi corak jangkitan dan kita akan buat keputusan dalam seminggu dua lagi sama ada kita akan teruskan atau tidak dari segi imbasan masuk MySejahtera,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Khairy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai penurunan purata daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan sama ada penggunaannya masih relevan dalam fasa peralihan ke endemik.

Beliau berkata walaupun negara dalam fasa peralihan ke endemik, prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 masih mewajibkan setiap individu mendaftar masuk menggunakan aplikasi itu kecuali di kawasan terbuka.

Katanya, keperluan daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih lagi relevan bagi memaklumkan kepada mereka yang didapati menjadi kontak kasual kepada kes positif COVID-19.

“Di puncak kes gelombang Omicron, kita dapati bahawa daripada kontak kasual yang telah dihantar notifikasi MySejahtera, 45 peratus adalah positif dan mereka telah mengambil langkah untuk isolasikan diri mereka.

“Jadi, hendak kata sistem pengesanan kontak (aplikasi MySejahtera) ini tidak relevan lagi, saya tidak berapa setuju,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)