Kerajaan akan pastikan projek pembangunan yang dirancang dapat disegerakan – Mustapa

Kerajaan akan pastikan projek pembangunan yang dirancang dapat disegerakan – Mustapa

ELI, 22 Ogos — Kerajaan akan memastikan semua projek pembangunan melibatkan pelbagai kementerian yang dirancang tahun ini dapat disegerakan bagi mengerakkan semula ekonomi negara yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini hanya 48 peratus projek-projek kerajaan telah dilaksanakan berikutan impak COVID-19 selain masalah ketidakcekapan kontraktor yang dilantik.

“Bagi mengatasi masalah itu, lawatan ke tapak projek akan dilakukan oleh agensi berkaitan supaya penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelancaran Plak Kaseh Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) Tan Sri Farida Mohd Ali anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), di Hospital Jeli di sini, hari ini.

Turut Hadir Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Pengarah Hospital Jeli Dr Muhamad Fidaie Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata beliau telah mengadakan mesyuarat bersama-sama beberapa kementerian semalam bagi mendapatkan maklum balas terhadap kemajuan pelaksanaan projek kerajaan Persekutuan.

“Mesyuarat itu bertujuan untuk mengurangkan masalah yang dihadapi oleh agensi pelaksana, selain kami juga perlu tahu masalah projek di peringkat akar umbi sama ada di peringkat negeri dan Parlimen agar ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Tahun ini, peruntukan untuk pembangunan berjumlah RM68 bilion dan kami nekad untuk meningkatkan angka pelaksanaan itu. Apabila projek-projek itu berjalan dengan baik ia akan mengerakkan ekonomi,” katanya.

Dalam perkembangan sama Mustapa berkata sektor ekonomi terutama domestik secara keseluruhan telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan.

“Sumber ekonomi dalam negara hampir pulih sepenuhnya namun sumber dari luar negara belum pulih seperti pelancongan kerana ia mungkin akan mengambil masa yang agak lama.

“Matlamat kerajaan sekarang ialah mahu memastikan sektor ekonomi dan perniagaan pulih sepenuhnya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus (0 )