Kerajaan belum putuskan lanjut pemberian subsidi kepada penternak ayam

Kerajaan belum putuskan lanjut pemberian subsidi kepada penternak ayam

ALOR SETAR,. Kerajaan belum memutuskan sama ada akan melanjutkan pemberian subsidi kepada penternak ayam yang dilaksanakan berikutan isu kenaikan harga ayam ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pemberian subsidi selama empat bulan mulai 5 Februari hingga 4 Jun itu membabitkan peruntukan lebih RM500 juta.

“Pemberian subsidi itu untuk memastikan harga ayam kekal di bawah RM8.90 sekilogram berbanding harga pasaran yang boleh mencecah hingga RM9.80 atau RM9.90 sekilogram. Tetapi kita hendak turunkan harga jadi kerajaan perlu beri subsidi walaupun ia akan memberi impak kewangan kepada kerajaan.

“Pada masa ini juga, kita tidak boleh mengurangkan harga jagung import. Kita tidak tanam jagung secara komersial untuk makanan haiwan, jadi kita import sebab itu berlaku peningkatan pada harga ayam di pasaran sekarang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pemberian subsidi kepada penternak ayam.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) C-IV Kangkong dekat sini, hari ini.

Ronald berkata bagi mengawal harga ayam pada masa hadapan, kerajaan sedang merangka satu dasar baharu untuk menggalakkan penanaman jagung secara meluas di negara bagi menampung kebergantungan jagung import bagi kegunaan makanan haiwan.

“Kerajaan mahu galakkan penanaman jagung ini bagi menampung jagung import dan kita tahu kesan kebergantungan kepada jagung dari negara luar ini akan mengakibatkan kos penternakan di Malaysia meningkat dan itu akan mempengaruhi harga jualan ayam di pasaran,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.

Kerajaan juga akan memberi subsidi lima sen sebiji kepada pengeluar dan penternak untuk semua jenis kategori telur.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)