Kerajaan berperanan bawa usul berkaitan rang undang – undang penubuhan Majlis Media

Kerajaan berperanan bawa usul berkaitan rang undang – undang penubuhan Majlis Media

KUALA LUMPUR,. Kerajaan berperanan untuk membawa usul rang undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) untuk diwartakan di Parlimen bagi pihak industri media, menurut seorang wartawan veteran.

Datuk Dr Chamil Wariya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) berkata pihak media tidak boleh membentangkan rang undang-undang penubuhan MMC ke Parlimen, dan atas sebab itu, mereka memerlukan bantuan kerajaan dalam melaksanakannya.

“Kerajaan perlu memainkan peranannya, kerana kami telah mencapai satu konsensus bahawa majlis media mesti ditubuhkan menerusi Akta Parlimen.

“Sebab itulah, kami meminta bantuan Kementerian (Komunikasi dan Multimedia Malaysia) supaya akta atau rang undang-undang itu dibawa ke Parlimen.

“Itu sahaja peranan dimainkan kerajaan (dalam penubuhan majlis itu)” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara membincangkan tajuk Majlis Media Malaysia – Memperkasakan Dunia Pemberitaan pada Selasa malam.

Chamil yang juga ahli jawatankuasa sementara MMC berkata selepas Rang Undang-Undang Majlis Media diwartakan dan menjadi kenyataan kelak, MMC akan menjadi sebuah entiti yang bersifat kawal selia kendiri oleh industri media.

Pada 16 Jan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, mengumumkan penubuhan jawatankuasa sementara majlis itu dengan 17 ahli, selepas satu mesyuarat mengenai MMC yang dipengerusikannya, di Putrajaya.

Jawatankuasa itu adalah langkah pertama yang diambil, selaras dengan satu daripada janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi penubuhan Majlis Media, yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)