Kerajaan bincang buka kiosk KWSP
KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan membincangkan cadangan pembukaan kiosk atau kaunter pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan urusan pencarum khususnya berusia 50 tahun ke atas mengeluarkan caruman.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu akan dibincangkan di dalam mesyuarat di sebelah pagi yang turut dihadiri wakil daripada Kementerian Kewangan termasuk Timbalan Menterinya sendiri.
“Perkara ini membabitkan kementerian lain, kita akan bincangkan dalam mesyuarat pagi sebab wakil Kementerian Kewangan sentiasa ada sama, ” katanya dalam sidang media harian PKP, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media berhubung sama ada kerajaan ingin membuka kiosk atau kaunter pejabat bagi memudahkan urusan pencarum berusia 50 tahun ke atas yang tidak mahir menggunakan perkhidmatan dalam talian.
Sebelum ini, terdapat juga pertanyaan orang ramai di laman sosial sama ada pencarum KWSP berusia 55 tahun yang layak mengeluarkan wang caruman mereka, perlu melalui proses dalam talian atau perlu menunggu kaunter dibuka.