Kerajaan cuba sebaik mungkin elak pelaksanaan PKP sepenuhnya: MOF

Kerajaan cuba sebaik mungkin elak pelaksanaan PKP sepenuhnya: MOF

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan mencuba sebaik mungkin untuk mengelakkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang menghalang sebarang aktiviti ekonomi dengan penutupan semua perniagaan dan kilang.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zakiah Jaafar berkata negara tidak mampu untuk menangani krisis ekonomi yang lebih serius dan berpanjangan.

“Secara dasarnya, dengan pendekatan PKP kedua yang dilaksanakan sekarang, dianggarkan kita mungkin memerlukan antara empat hingga enam minggu untuk meratakan lengkungan keluk COVID-19 bagi mencapai satu tahap yang boleh ditampung oleh sistem perkhidmatan kesihatan negara yang ada pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) terbitan Bernama TV malam ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKP kali kedua ini adalah berbeza berbanding PKP pada tahun lepas memandangkan lebih 90 peratus sektor dan perniagaan dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan majikan, pekerja dan usahawan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion baru-baru ini, merangkumi 22 inisiatif bagi memerangi pandemik COVID-19 serta mengurangkan kesannya kepada masyarakat dan ekonomi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)