Kerajaan dalam proses memuktamadkan jajaran projeck ECRL Seksyen C
KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedang dalam proses memuktamadkan jajaran Projek Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, menurut Kementerian Pengangkutan.
“Proses ini perlu dijalankan dengan kerajaan mengambilkira beberapa faktor penting seperti daya maju projek, kesalinghubungan rel dan kewangan sebelum kelulusan diberikan bagi jajaran ini,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian tersebut menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (PH-DAP) mengenai perkembangan terbaharu projeck ECRL Seksyen C dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dan sama ada skim keretapi Seksyen C tersebut telah mendapat kelulusan muktamad daripada Kementerian di bawah peruntukan Seksyen 84 Akta Pengangkutan Awam Darat serta apakah jajaran ECRL Seksyen C akan berubah.
Mengulas lanjut, kementerian itu berkata jajaran projek ECRL ini telah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Seksyen A (Jajaran dari Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Jajaran dari Dungun-Mentakab) dan Seksyen C (Jajaran dari Mentakab-Pelabuhan Klang).
Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan sebagai pemilik projek ECRL telah mendapat kelulusan muktamad skim keretapi bagi Seksyen A dan Seksyen B.
“Selain itu, kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar dan Kajian Impak Warisan telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Laporan Kajian Impak Sosial (SIA) juga telah siap dan diserahkan untuk kelulusan bagi kedua-dua seksyen ini,” katanya.
— BERNAMA