Kerajaan fokus pembaharuan struktural dalam jangka masa sederhana

Kerajaan fokus pembaharuan struktural dalam jangka masa sederhana

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan bahawa keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktural yang akan meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Beliau berkata langkah dan komitmen kerajaan ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi dan memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luar, yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata walaupun ekonomi negara berada di landasan yang kukuh, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan ekonomi.

“Sebagai contoh, ketegangan geopolitik telah mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek, terutamanya peningkatan dalam inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat,” katanya.

Namun begitu, katanya, kerajaan sentiasa memantau keadaan semasa konflik Rusia-Ukraine dan terus komited dalam melaksanakan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu seiring dengan perubahan senario ekonomi global yang lazimnya di luar kawalan.

Beliau berkata sekiranya konflik tersebut berterusan, ia akan memberi implikasi kepada komoditi dan turut memberi kesan kepada harga barang manakala tindakan beberapa negara menghentikan eksport makanan seperti India dan Indonesia, juga memburukkan lagi keadaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan.

“Sebagai contoh, ketegangan geopolitik telah mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek, terutamanya peningkatan inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat.

“Sebagai ekonomi yang terbuka dengan nilai keseluruhan perdagangan luar merangkumi hampir 120 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar, Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami kesan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )