Kerajaan hormati keputusan mahkamah ke atas Najib – PM Muhyiddin

Kerajaan hormati keputusan mahkamah ke atas Najib – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR,. Kerajaan menghormati keputusan mahkamah yang mensabitkan Datuk Seri Najib Razak terhadap semua tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri pada masa sama menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya di dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata kerajaan juga menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Najib, 67, pada Selasa didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )