Kerajaan Kedah berfungsi seperti biasa, perubahan hanya spekulasi – PH Kedah

Kerajaan Kedah berfungsi seperti biasa, perubahan hanya spekulasi – PH Kedah

ALOR SETAR,. Pakatan Harapan (PH) Kedah menolak andaian kononnya akan berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pihak kerajaan akan melompat parti atau menyatakan sokongan kepada pembangkang.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata setakat ini tidak ada mana-mana ADUN sama ada daripada PH atau Bersatu yang mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka menyokong pembangkang atau akan melompat parti bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

“Mereka perlu buat kenyataan rasmi, tapi setakat ini tidak ada sebarang kenyataan jadi kita anggap perkara itu sebagai satu spekulasi. Kerajaan (sedia ada) masih terus berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di kediaman rasmi menteri besar di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan selama sejam dengan Mukhriz itu, Phahrolrazi berkata ia membincangkan isu-isu semasa termasuk kerajaan negeri.

“Sekarang ini di Kedah, (kerajaan negeri di bawah) PH campur Bersatu, jadi apabila ada perbincangan, kita bincang antara PH dan Bersatu dan saya telah diminta untuk menjadi wakil PH untuk berbincang dengan Bersatu yang dipimpin Pengerusi Bersatu Negeri Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir,” katanya.

Ditanya sama ada pertemuan itu turut membincangkan mengenai pertemuan tertutup pimpinan PAS pusat dengan ADUN PAS dan UMNO Kedah semalam, Phahrolrazi mengesahkan perkara itu turut disentuh, namun tidak mengulas lanjut mengenainya.

Semalam, kesemua 17 ADUN PAS dan UMNO mengadakan pertemuan tertutup lebih tiga jam bersama pimpinan PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, di sini.

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya dan Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)