Kerajaan komited sediakan rumah mampu milik selesa –

Kerajaan komited sediakan rumah mampu milik selesa –

KUALA LUMPUR,. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited menyediakan perumahan mampu milik selesa kepada golongan B40 dan miskin bandar, terutamanya di kawasan pesat membangun walaupun berdepan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga berhadapan dengan cabaran menjaga kebajikan golongan miskin bandar, terutamanya warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta, serta penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Dalam menyahut cabaran-cabaran yang saya sebutkan ini, baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.

“Panduan ini bertujuan untuk membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan,” katanya pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Razakmas2 di sini semalam.

Katanya, panduan tersebut juga disasarkan supaya kawasan-kawasan tersebut berwajah baharu, ‘vibrant’ dan mampu berdaya saing, sekali gus memperbaiki visual dan meningkatkan nilai hartanah kawasan tersebut.

Perdana Menteri berkata, inisiatif berkenaan hanyalah sebahagian inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri, yang bersifat mampu milik dan selesa.

Beliau berkata sejak setahun lalu, banyak lagi bantuan yang telah diberikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk membelanjakan RM40 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Ia untuk kerja-kerja membaiki bumbung, tangga, mengecat bangunan serta kerja-kerja pembaikan utiliti, yang melibatkan 63 projek di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) selain 13 projek di Labuan. Ini semuanya dilaksanakan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, penyempurnaan projek Residensi Razakmas 2 yang tertangguh selama 10 tahun adalah bukti niat ikhlas, tumpuan dan usaha gigih jentera kerajaan, memastikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.

Beliau turut berkongsi kegembiraan 395 pemilik Residensi Razakmas2, yang merupakan penduduk asal Perumahan Awam Sri Labuan, yang menerima kunci rumah baharu mereka di mana ia jauh lebih selesa berbanding perumahan awam itu yang hanya berkeluasan 400 hingga 528 kaki persegi, dengan hanya satu atau dua bilik sahaja.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 395 pemilik rumah yang menerima kunci rumah Residensi Razakmas2 secara percuma, serta kepada 245 penyewa (di Perumahan Awam Sri Labuan) yang ditawarkan pemilikan rumah dengan harga subsidi RM198,000.

“Selepas inisiatif pembaharuan semula (Perumahan Awam Sri Labuan) yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, pemilik Residensi Razakmas2 akan mendapat rumah berkeluasan 805 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta yang berbumbung, dewan serba guna dan taman permainan,” katanya.

Beliau menambah nilai pasaran semasa sekitar rumah berkenaan kini ialah RM300,000, berbanding nilai rumah sebelum ini yang dibeli dengan harga RM21,000 hingga RM28,000, iaitu peningkatan 10 kali ganda.

Sementara itu, pada majlis sama Muhyiddin menyerahkan plak kunci kepada 10 pemilik Residensi Razakmas2, sebagai simbolik penyerahan itu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Annuar dalam sidang media memberitahu, DBKL kini dalam perancangan untuk membangunkan semula tapak lama Perumahan Awam Seri Labuan yang berkeluasan 10 ekar, bagi dibina lebih banyak rumah mampu milik.

“Tentunya kita akan membangunkan semula disebabkan ia sebahagian daripada program pembangunan semula bandar. Kami akan merobohkannya kemudian dan lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di kawasan itu, dengan 10 ekar, kita sepatutnya boleh membina 3,000 lagi rumah mampu milik secara berperingkat,” katanya.

Katanya lagi, pemilik Flat Sri Labuan yang berpindah ke Residensi Razakmas 2 juga diberi bantuan khas perpindahan iaitu RM3,000 bagi pemilik rumah sebilik dan RM7,000 bagi pemilik rumah dua bilik untuk membantu proses perpindahan mereka.

Tambahnya mengikut percangan asal, pemilik diberi masa sebulan untuk berpindah tetapi mengambil kira bulan Ramadan dan Hari Raya yang bakal tiba, mereka diberi fleksibiliti hingga ke tempoh tertentu.

Selain itu, pemilik juga diberi kemudahan untuk menggunakan lori-lori DBKL untuk proses perpindahan mereka.

— Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)