
Kerajaan laksana undi 18 dalam tempoh terdekat
KUALA LUMPUR,. Kerajaan hari ini menegaskan bahawa kelayakan mengundi umur 18 tahun akan diusahakan agar dapat dilaksana dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata komitmen terhadap perkara itu dibincangkan serta disahkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.
Katanya ketetapan itu jelas menunjukkan kerajaan beriltizam memberi peluang kepada golongan muda berumur 18 tahun menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15, mahupun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.
“Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.
“Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin berkata kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian prosedur operasi standard selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan COVID-19 di negara ini.
Pada 25 Mac lepas, SPR mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksana selepas 1 Sept tahun depan, berikutan pelbagai kekangan dihadapi suruhanjaya itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 ketika ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata mengundi pada usia 18 tahun adalah soal fundamental sebuah negara demokrasi dan ia dipersetujui hampir keseluruhan Ahli Dewan Rakyat pada kala ia diluluskan.
“Ia adalah keputusan besar kedua-dua pihak. Oleh itu, selaku Menteri Belia dan Sukan yang turut menyokong pindaan Perlembagaan sebagai blok pembangkang ketika itu, sudah semestinya saya ingin melihat ia terlaksana sepertimana jajaran masa yang ditetapkan,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.
Beliau berkata penguatkuasaan kelayakan umur mengundi 18 tahun itu memberi hak asasi warganegara kepada lebih 1.2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun, selain Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus melaksanakan program serta libat urus bersama anak muda dalam hal terbabit.
“Sebanyak mana mereka bertanggungjawab terhadap undang-undang, kita perlu bagi mereka hak sama rata. Saya juga akan terus memberikan komitmen dalam memastikan soal perluasan lantai demokrasi menjadi ‘accomplished deal’ antara kerajaan dan anak muda,” katanya.
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa SPR telah diberi masa yang cukup untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sejak Parlimen mengesahkan undang-undang tersebut lebih daripada satu setengah tahun lepas.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Aplikasi Tuisyen Percuma di Port Dickson hari ini, ketua pembangkang berkata ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan SPR melaksanakan peranan mereka kerana perkara berkenaan telah disahkan di Parlimen.
— BERNAMA