Kerajaan lindung kepentingan negara dalam semua perjanjian perdagangan – Tengku Zafrul

Kerajaan lindung kepentingan negara dalam semua perjanjian perdagangan – Tengku Zafrul

JOHOR BAHRU,. Kerajaan akan mengutamakan dan melindungi kepentingan negara dalam semua perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Kita berhasrat untuk memastikan syarikat, pelabur, pengeksport dan pekerja di Malaysia — pada asasnya ekonomi negara — dilindungi daripada sebarang keputusan yang boleh menjejaskan negara,” katanya sambil memaklumkan, dalam usaha itu, Malaysia akan terus mengadakan rundingan dengan semua negara.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan China yang menggesa negara yang sedang mengadakan rundingan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) tidak melaksanakannya agar tidak menjejaskan Beijing.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Forum Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di sini semalam, katanya Malaysia kekal teguh dalam komitmen negara terhadap prinsip multilateralisme.

Menurutnya Malaysia yakin sesi libat urus dan dialog adalah penting sama ada melibatkan China, Kesatuan Eropah (EU), Majlis Kerjasama Teluk atau AS.

Beliau berkata Malaysia mementingkan keadilan dalam kerjasama antarabangsa dan mendukung prinsip multilateralisme menerusi pelbagai platform dan organisasi.

“Apa sahaja perjanjian yang kita capai dengan sesebuah negara, kita akan berusaha untuk menawarkan layanan yang serupa kepada yang lain. Inilah sebabnya mengapa ASEAN bekerja keras untuk menambah baik Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA),” katanya.

Menamakan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN sebagai contoh, beliau berkata blok itu juga dalam usaha untuk menambah baik perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China dan India.

“Pada masa sama, Malaysia terus mengadakan libat urus dengan negara lain dan telah menyambung semula rundingan FTA dengan blok seperti EU,” kata Tengku Zafrul.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )