Kerajaan mengalu-alukan media anjur program debat – FAHMI

Kerajaan mengalu-alukan media anjur program debat – FAHMI

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Kerajaan mengalu-alukan platform media penyiaran untuk menganjurkan program debat antara calon-calon yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata program seumpama itu amat digalakkan kepada mana-mana platform media rasmi serta arus perdana untuk dipertonton kepada rakyat selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

“Kita mengalu-alukan semua media untuk turut terlibat menyediakan platform masing-masing bagi mengangkat wacana sehingga ke tahap debat juga, supaya ia (kempen calon PRN) bukan hanya melempar tohmahan dan ejek-mengejek.

“Bagi saya sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, kita mesti mempraktikkan politik matang termasuk amalan debat,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu dekat sini hari ini.

Katanya beliau juga percaya bahawa banyak platform media terbuka untuk menyiarkan program debat antara calon-calon PRN, tetapi terpulang kepada calon-calon sama ada mereka bersedia atau sebaliknya untuk menyertai program (seumpama) itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu turut diadakan serentak dengan PRN melibatkan enam negeri berkenaan.

Fahmi turut menjangka platform media sosial akan menjadi lebih rancak bagi mana-mana pihak untuk menganjurkan program debat memandangkan aplikasi seperti TikTok mempunyai pengguna yang ramai serta aktif di media sosial itu.

“Contohnya kita lihat aktivis politik Papagomo dan Wan Mahussin berdebat antara satu sama lain di TikTok dan ramai yang menontonnya. Maka, saya jangka platform media sosial akan menjadi lebih rancak,” katanya.

Berhubung pemantauan pihak berkuasa melibatkan platform dalam talian sepanjang tempoh kempen PRN, beliau berkata pihak berkaitan antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SPR akan memperkukuh tahap pemantauan mereka.

“Beberapa hari lepas saya bersama Ketua Polis Negara (mengadakan perbincangan) melihat apa yang perlu dilakukan untuk memantapkan pasukan pemantauan ini terutamanya isu 3R (agama, raja dan kaum). Beberapa perkara telah dipersetujui dan akan dilaksana segera.

“Kita juga sudah mendapatkan kerjasama dengan pelbagai platform media sosial termasuk TikTok yang sedia membantu, pantau supaya undang-undang di negara ini dihormati sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Fahmi juga menggesa orang ramai untuk memberi kerjasama membuat aduan atau laporan di mana-mana media sosial berkaitan sekiranya berlaku ketidakpatuhan undang-undang atau menimbulkan kegusaran oleh calon yang bertanding PRN berkenaan.

Ditanya mengenai tindakan yang akan dilakukan sekiranya kempen calon menerusi media sosial mencetuskan kehangatan atau isu sensitif, beliau berkata mana-mana akaun akan dihentikan atau digantung mengikut garis panduan komuniti setiap platform media sosial.

“Sekiranya banyak aduan diterima maka platform media sosial itu sendiri yang akan menghentikan atau gantung sementara akaun,” katanya sambil menegaskan kerajaan tidak mempunyai sebarang kaitan sekiranya ada mana-mana akaun yang digantung.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )