Kerajaan N.Sembilan perketat pemantauan ladang babi cegah ASF

Kerajaan N.Sembilan perketat pemantauan ladang babi cegah ASF

SEREMBAN,. Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memperketatkan pemeriksaan dan pemantauan terhadap ladang-ladang ternakan babi susulan kes wabak Demam Babi Afrika (ASF) yang melanda negeri ini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Bakri Sawir berkata bagaimanapun tiada kes terbaharu wabak itu dikesan selepas 273 ekor babi yang dijangkiti penyakit itu dilupuskan pada 13 April lepas.

“Pada masa ini memang belum ada kes baharu, tetapi apa yang saya khuatiri, penternak dari ladang lain menyeludup keluar ternakan babi mereka terlebih dahulu, kami memang jaga bahagian ‘depan’ tapi ‘belakang’ kami tak tahu.

“Namun, kami buat pengawasan berterusan, jika ada dikesan positif daripada sampel yang diambil, kami terus lupuskan termasuk kandang berkenaan khususnya yang tidak berlesen kita akan robohkan bagi mengawal penularan wabak itu,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Beliau berkata terdapat hampir 20 ladang babi yang tidak berlesen di negeri ini yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi untuk dijangkiti ASF sekiranya ia tidak dibendung.

Bakri berkata selain itu penguatkuasaan undang-undang termasuk Seksyen 36 Akta Binatang 1953 (Akta 647) perlu dipertingkatkan bagi mengawal penularan penyakit selain kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan serta perancang bandar dan desa.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penternak babi untuk mengawal biosekuriti di ladang mereka dengan ketat selain terus melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera sekiranya mengesyaki ternakan mereka dijangkiti sebarang penyakit.

“Dari sudut undang-undang kalau ternakan ada virus ke penyakit termasuk babi, lembu atau kambing, enakmen kita sudah cukup kuat, mereka kena cepat lapor kalau tidak ia jadi kesalahan dan kami boleh denda,” katanya.

Pada 9 April lepas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dilapor mengesan penyakit ASF di sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson hasil pengesahan sampel ke atas dua ekor daripada 273 babi di ladang itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )