Kerajaan optimis mampu capai pertumbuhan KDNK 4.8 peratus tahun 2020

Kerajaan optimis mampu capai pertumbuhan KDNK 4.8 peratus tahun 2020

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kewangan (MoF) optimis kerajaan mampu mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada 2020, meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Timbalan Menterinya Datuk Amiruddin Hamzah berkata perang perdagangan antara US dan China, situasi di Hong Kong serta Brexit, telah mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam negara ekonomi membangun, justeru memberi kesan kepada ekonomi serantau.

Bagaimanapun katanya usaha Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi siri-siri lawatan luar negara, bagi mengukuhkan hubungan dagang dua hala, telah memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menarik pelaburan luar di samping mengembangkan perdagangan.

“Kita harus ambil peluang tersebut untuk memastikan aktiviti perdagangan dengan negara-negara yang dilawati (oleh Perdana Menteri) dapat diteruskan, dan dikembangkan lagi.

“(Kita turut) mengalu-alukan pelaburan luar, terutama dari negara ekonomi maju seperti China, US, Jepun dan Korea,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif berkenaan Pencapaian MOF Sepanjang 2019 terbitan RTM pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengambil inisiatif menyediakan laluan yang lebih mudah dan cepat bagi pelabur luar yang berhasrat untuk melabur di dalam negara.

“Kita (MoF) mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industry setiap bulan untuk meneliti dan meluluskan permohonan pelaburan dari luar dengan segera.

“Semoga kelulusan (tersebut) menjadi sesuatu yang direalisasikan, bukan di luluskan semata-mata. Kerjasama dari agensi-agensi dan kerajaan negeri juga akan memudahkan dan menjadikan kelulusan dapat direalisasikan dengan segera, justeru membawa impak ekonomi yang baik dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Bagi 2019, Amiruddin berkata kerajaan positif untuk mencapai unjuran KDNK antara 4.3 – 4.8 peratus.

Sementara itu, beliau berkata paras hutang negara masih berada dalam kedudukan terkawal, dengan kerajaan mempunyai kemampuan untuk melunaskan hutang mengikut tempoh yang telah ditetapkan tanpan menjejas aspek ekonomi yang lain.

“Hutang yang kita buat adalah bertujuan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negara, bukan untuk perlaksanaan operasi seperti membayar gaji dan sebagainya. Buat masa sekarang, paras hutang kita kepada KDNK masih di bawah 55 peratus.

“Apabila KDNK dapat ditingkatkan kelak, had yang diletakkan untuk hutang negara juga akan bertambah besar, jadi kita akan dapat mengekalkan paras hutang di bawah 55 peratus itu,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan operasi negara juga kekal positif, di mana hasil yang perolehi melebihi perbelanjaan mengurus.

“Kita hanya perlu meminjam untuk perbelanjaan pembangunan, yang tidak menjadi masalah sekiranya kita mempunyai rekod baik dari pembayaran semula hutang selain perkembangan ekonomi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )