Kerajaan perlu gembleng dana daripada pelbagai sumber untuk rangsang ekonomi – Abdul Wahid

Kerajaan perlu gembleng dana daripada pelbagai sumber untuk rangsang ekonomi – Abdul Wahid

KUALA LUMPUR, 28 Mac  — Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini menjelaskan dalam mentadbirkan sesebuah negara, selain daripada suntikan fiskal langsung melalui bajet Kerajaan Persekutuan, mana-mana kerajaan perlu menggembleng dana daripada pelbagai sumber untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Ini termasuklah dana daripada agensi Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan dan sektor swasta memandangkan kira-kira dua pertiga daripada ekonomi negara kini dipacu sektor swasta, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelbagai reaksi terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang antaranya ada mempertikaikan jumlah yang disebut iaitu RM250 billion memandangkan jumlah suntikan fiskal secara langsung adalah berjumlah RM25 billion.

Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion, iaitu RM20 bilion daripada pakej terdahulu dan RM230 bilion rangsangan tambahan.

Daripada jumlah RM230 bilion itu, RM22 bilion suntikan fiskal langsung, RM100 bilion (moratorium pinjaman),  RM55 bilion (jaminan), RM40 bilion (pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan RM13 bilion (lain-lain sumber).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suntikan fiskal langsung sebanyak RM25 bilion, 1.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada nilai semasa yang sama.

Berkenaan tambahan RM25 bilion itu, Abdul Wahid berkata defisit fiskal akan meningkat kepada RM99 bilion atau 6.2 peratus daripada KDNK.

Bagaimanapun, beliau difahamkan bahawa terdapat beberapa langkah peningkatan hasil dan pengurangan perbelanjaan operasi yang dapat mengurangkan defisit fiskal kepada RM74 bilion atau 4.6 peratus daripada KDNK.

“’Defisit 4.6 peratus daripada KDNK ini adalah lebih rendah daripada defisit 6.7 peratus yang pernah dicatatkan negara pada 2009 semasa Malaysia mengalami krisis kewangan global,” katanya.

Beliau menambah ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan dan kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

“Defisit di bawah paras lima peratus ini akan mengurangkan tekanan terhadap penarafan kredit antarabangsa Malaysia semasa pada A3/A- . Ia juga akan memberikan ruang untuk kerajaan melaksanakan langkah-langkah tambahan sekiranya wabak Covid-19 berlarutan melangkaui tempoh enam bulan, “katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya, pakej rangsangan yang bermatlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi itu adalah bertepatan dalam keadaan yang amat sukar, tidak pernah dilalui dan tidak menentu ini.

“Marilah kita bersikap membina dan bersama-sama memainkan peranan masing-masing mengatasi krisis global ini yang mengancam nyawa, kehidupan dan kesejahteraan kita,” kata Abdul Wahid.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )