Kerajaan perlu pantas selesaikan masalah rakyat – Anwar

Kerajaan perlu pantas selesaikan masalah rakyat – Anwar

AYER KEROH,. Perlu ada tindakan yang lebih tuntas dan pantas dalam menyelesaikan masalah yang membebani rakyat, terutamanya dalam isu kos sara hidup, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, walaupun Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 cetusan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu sangat diperlukan, namun apa yang lebih penting ialah bagaimana kerajaan untuk mempercepatkan lagi usaha meningkatkan pendapatan rakyat serta mengukuhkan ekonomi negara.

Atas sebab itu, Anwar berkata, beliau mempunyai harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menilai semula kaedah pelaksanaan dasar pengukuhan ekonomi dan pembangunan, serta masa yang diperlukan.

“Shared Prosperity itu adalah visi, tetapi saya lebih mengambil berat mengenai kaedah pelaksanaan, mengenai aspek teknikalnya, kerana ia harus diterjemahkan kepada realiti.
“Lihat pada kemarahan anak muda, isu peluang pekerjaan dan sebagainya,” katanya kepada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Keadilan 2019, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar berkata, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir terbukti membawa perubahan dalam memastikan sistem penyampaian yang berkesan, namun agenda reformasi Keadilan harus terus diterapkan dalam kerajaan.

“Dahulu kita menentang dasar sistem percukaian memanfaatkan orang kaya. Dulu kita tegas menentang prinsip yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

“Sekarang dengan semangat sama supaya program pembangunan itu tidak meninggalkan dan meremehkan dan meminggirkan nasib mereka yang menderita. Sebab itu saya menggesa kita melihat semula pengisytiharan reformasi, kerana ia boleh menjawab permasalahan,” katanya lagi.

Anwar berkata, PKR dari awal penubuhannya masih berpegang teguh kepada prinsip menjadi parti untuk semua, tanpa mengira bangsa dan agama.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)