Kerajaan PN dibentuk melalui kerjasama politik pintar – Dr Nik Muhammad

Kerajaan PN dibentuk melalui kerjasama politik pintar – Dr Nik Muhammad

MACHANG,. Dewan Ulama PAS berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hubungan kerjasama politik pintar yang perlu dipertahankan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata PAS bersyukur dan mahu semua kepimpinan ulama memperteguhkan muafakat berkenaan.

“Bila Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti, PN diberi peluang untuk mengambil alih…Kita bersyukur kepada Allah yang mengurniakan kekuasaan dengan perkongsian pemerintahan.

“Justeru, muktamar tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-59 yang berlangsung hari ini memilih tema ‘Ulama Perteguh Muafakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Ke-59 di Markas Dewan Ulama (MADU) di sini, semalam.

Perasmian muktamar berkenaan disempurnakan Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Nik Muhammad Zawawi berkata muktamar PAS tahun ini berlangsung dalam iklim politik yang memihak kepada PAS di peringkat kerajaan persekutuan dan beberapa negeri.

“Kita berdoa kepada Allah agar mengekalkan kemenangan ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya, menambah peranan ulama dalam mengisi kemenangan di peringkat persekutuan dan negeri mesti difahami dan direalisasikan dalam kerangka yang tepat.

Sementara itu, Dewan Ulama menggariskan lima tonggak dalam membina perpaduan nasional termasuk menjaga hak majoriti secara adil, menghormati Islam sebagai pasak kestabilan dan mengharmonikan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk.

“Selain itu, mendahulukan jalan perdamaian dan kesejahteraan serta menolak sebarang anasir khianat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad mahu golongan ulama menjadi pemangkin keharmonian dalam kerjasama politik melalui PN tersebut.

“Jadikan pengajaran ketika negara diperintah Pakatan Harapan dan kerjasama melalui Muafakat Nasional akan lebih tersusun demi negara dan agama,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )