Kerajaan rancang lancar ‘Malaysian humanitarian action and coordination hub’

Kerajaan rancang lancar ‘Malaysian humanitarian action and coordination hub’

KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedang merancang untuk melancarkan ‘Malaysian humanitarian action and coordination hub’ bagi memperkasakan fungsi kerajaan, pihak swasta dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam bantuan kemanusian, khususnya semasa berdepan pandemik COVID-19.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata perkara itu sudahpun dibincangkan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mungkin dilancarkan tidak lama lagi.

Dr Jemilah berkata cadangan mewujudkan hab berkenaan untuk mengumpul data sebagai bukti bagaimana penglibatan dan tindakan semua pihak dalam membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

“Kita boleh lihat bukti yang mana setiap kumpulan ada memberi sumbangan begitu ketara dan daripada data itu, kita juga boleh lihat di mana tempat yang masih belum dibantu.

“Kadang-kadang satu tempat itu ada enam CSO yang tolong. Contohnya seperti di Perak, yang paling utama memberi bantuan adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kalau tiada data, kita tak dapat lihat dan menunjukkan bahawa semua pihak main peranan, jadi dengan ini boleh kita gabung dan koordinasi supaya tidak (ter)tinggal sesiapa pun,” katanya dalam program Temu Minda: Masyarakat Sivil Sebagai Rakan Kongsi Pembangunan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang turut menjadi moderator program itu pada Rabu.

“Kita mesti mula dengan satu sistem di mana kita semua boleh bekerjasama, merancang bersama dan bukannya untuk menjadi NGO (badan bukan kerajaan) atau kerajaan sahaja tetapi perlu ada kolaborasi dan kefahaman,” kata Dr Jemilah.

Mengulas lanjut, beliau berkata hab itu juga dapat mengumpul maklumat mengenai jumlah dana yang yang telah disalurkan setiap pihak dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan.

“Misalnya satu kumpulan sektor swasta ada beri RM71 juta sumbangan, NGO pula beri RM60 juta dan bila akhirnya kerajaan Malaysia nak lihat bagaimana sebenarnya kita (NGO, CSO) bertindak dalam COVID-19.

“Kita boleh kata kerajaan dah beri berapa peratus, CSO berapa peratus dan sektor swasta berapa peratus dan ini membuktikan sebenarnya semua pihak sudah memberi sumbangan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )