Kerajaan Thai mahu tamatkan ketegangan politik

BANGKOK, 24 Okt — Kerajaan Thailand telah mengambil tindakan untuk menamatkan ketegangan politik pada ketika peningkatan tunjuk perasaan anti kerajaan diketuai kumpulan pelajar yang menuntut pembaharuan politik sejak pertengahan Julai.

Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri berkata kerajaan telah menarik balik perintah Situasi Darurat yang Serius di Bangkok pada 22 Okt yang menunjukkan hasrat mereka untuk berdialog dengan kumpulan politik yang berkaitan.

“Kerajaan telah mendengar kegusaran penunjuk perasaan dan tibalah masanya untuk bersama-sama dan mencari jalan penyelesaian.

“Kami berharap penunjuk perasaan akan bersedia untuk menyertai dalam sesi perbincangan, satu cara demokrasi dalam mencari persamaan di dalam idea yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 15 Okt, Prayuth mengisytiharkan Situasi Perintah Darurat yang Serius, dalam usaha menamatkan tunjuk perasaan jalanan yang sudah berlarutan selama tiga bulan, diketuai kumpulan pelajar. Perintah darurat itu termasuklah melarang perhimpunan awam membabitkan lima orang atau lebih, penerbitan berita dan perkhidmatan pesanan dalam talian yang boleh mempengaruhi keselamatan negara.

Bagaimanapun, pengistiharaan itu menyebabkan berlaku tujuk perasaan anti kerajaan setiap hari di Bangkok dan merebak ke bandar-bandar lain yang mengulangi desakan mereka untuk perubahan politik termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.

Pada Khamis, kerajaan mengambil langkah pertama untuk membaiki situasi dengan menarik balik Situasi Darurat yang Serius di Bangkok.

Anucha berkata, situasi politik pada masa ini melibatkan banyak pandangan bertentangan antara kumpulan berbeza, dan semua pihak seharusnya mengambil peluang ini untuk berbincang antara satu sama lain mengenai apa yang terbaik untuk negara.

“Disebabkan isu ini melibatkan dan berkaitan dengan rakyat Thai, satu solusi melalui proses parlimen adalah bertepatan, kerana Ahli Parlimen yang dilantik ke Parlimen mewakili semua sektor masyarakat,” katanya.

Satu sesi parlimen bagi membincangkan tunjuk perasaan anti kerajaan yang sedang berlangsung akan diadakan pada 26 dan 27 Okt.

Anucha berkata pindaan perlembagaan seperti diminta penunjuk perasaan, adalah antara isu yang termasuk dalam senarai perkara yang akan dibincangkan.

“Ini adalah masa mencabar untuk Thailand. Adalah dicadangkan semua pemegang taruh untuk mempunyai perspektif yang lebih terbuka dan bersama-sama untuk mencapai solusi dengan menerima pandangan daripada semua pihak.

“Jika semua pihak komited untuk mengamalkan kawalan diri dan lebih fleksibel, keadaan akan menjadi lebih kondusif untuk meleraikan ketegangan konflik politik semasa dan mencapai keputusan yang boleh diterima oleh semua pemegang taruh,” katanya.

Penunjuk perasaan telah memberikan Prayuth sehingga 10 malam (waktu tempatan) untuk letak jawatan. Mereka menyatakan yang mereka akan kembali dengan jumlah yang besar jika Prayuth gagal untuk mengikuti tempoh tiga hari untuk letak jawatan.

Sehingga kini, polis telah menahan sekurang-kurangnya 78 orang termasuk pemimpin pelajar dan aktivis.

Sekumpulan penunjuk perasaan telah berkumpul di luar Penjara Reman Bangkok di Bangkok sejak malam semalam, meminta pihak berkuasa untuk membebaskan penunjuk perasaan dan ketua mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )