Kerajaan timbang tubuh badan bela nasib penyanyi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk menubuhkan satu badan bagi menyelia industri muzik tempatan agar kebajikan penyanyi di negara ini terus terbela, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata sebelum ini terdapat satu institusi sedemikian di bawah Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (yang kini dikenali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) yang berperanan mengumpul dana bagi membantu penyanyi, namun kini badan itu tiada lagi.

“Kementerian percaya kewujudan badan berkenaan akan dapat membantu golongan penyanyi sebagaimana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membantu para pelakon dan pihak lain yang terlibat dengan industri perfileman negara.

“Melalui FINAS, kita sudah bantu pelakon-pelakon dan artis, tetapi untuk penyanyi ini belum ada lagi, menyebabkan terdapat rungutan. Jadi kini Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sedang berbincang bagaimana hendak bantu golongan penyanyi pula, sama ada melalui FINAS juga atau kita (kerajaan) buat satu badan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Temu bual itu membincangkan Program Komuniti @ Finas (KoFI) Padang Besar, Perlis.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata kementerian juga sedang mencari jalan untuk meningkatkan lagi kutipan dana yang boleh disalurkan kepada golongan artis dalam industri perfileman.

“Sebagai contoh mungkin kita boleh tingkatkan cukai tiket panggung wayang antara 30 atau 40 sen sebagai tambahan dana untuk membantu semua artis-artis ini,” katanya.

Berhubung program KoFI, Zahidi berharap selain mencungkil bakat-bakat baharu dalam industri kreatif, ia dapat menonjolkan kawasan-kawasan menarik di negeri itu yang boleh diketengahkan sebagai lokasi penggambaran bagi syarikat-syarikat produksi termasuk dari luar negara.

Menurut beliau ia seiring dengan matlamat kementerian untuk mengembangkan sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang kini pada kadar 1.9 peratus atau bersamaan RM29 bilion.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )