Kerani berputih mata terjerat Macau Scam, rugi lebih setengah juta ringgit

TAMPIN,. Seorang kerani sebuah syarikat swasta di sini kerugian RM693,900 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menghubungi dan mendakwa wanita itu terlibat dalam pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek yang tidak dikenali pada 27 Okt lepas yang membaca nama dan nombor kad pengenalannya dengan tepat.

“Suspek memberitahu akan mengeluarkan waran tangkap ke atas mangsa kerana terlibat dalam pengubahan wang haram lalu menyambungkan panggilan itu kepada dua lelaki yang mengaku anggota polis dikenali sebagai Sarjan Tan dan ASP Yong.

“Semasa perbualan, kedua-dua suspek bertindak menakut-nakutkan mangsa dan meminta wanita itu membacakan nama pengguna dan kata laluan akaun Public Bank miliknya bagi tujuan mengeluarkan kesemua wang mangsa berjumlah RM363,900,” katanya salam dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mereka juga meminta mangsa membayar wang jaminan berjumlah RM260,000 dan bayaran guaman sebanyak RM70,000.

Akibat takut dan panik, mangsa mengikut arahan itu dan bertindak memindahkan kesemua wang yang diminta ke dalam akaun Public Bank milik suspek selain turut diminta hadir ke Mahkamah Tampin, semalam untuk bicara kes, katanya.

Aibee berkata selepas kejadian dihubungi itu, mangsa menerima transaksi pengeluaran wang setiap hari daripada akaun bank miliknya kepada beberapa akaun tidak diketahui serta dimaklumkan pindahan wang itu bagi tujuan audit dan akan dikembalikan semula.

Katanya, semalam, mangsa sekali lagi dihubungi lelaki yang menyamar sebagai polis dikenali sebagai DSP Chew dengan meminta wang jaminan tambahan sebanyak RM135,000 namun mangsa tidak dapat membuat bayaran berkenaan kerana kehabisan wang.

“Mangsa yang menyedari diperdaya terus membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya jika menerima panggilan sedemikian,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )