Kerap jalankan operasi di hotspot, saman JPJ meningkat pada 2019

Kerap jalankan operasi di hotspot, saman JPJ meningkat pada 2019

KUALA LUMPUR,. Peningkatan jumlah saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2019 membuktikan kekerapan pihak berkuasa itu menjalankan operasi di lokasi ‘hotspot’ sekitar ibu negara.

Pada 2019 sahaja, JPJ Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan saman sebanyak 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarahnya Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, sebanyak 106,861 saman dikeluarkan pihaknya sejak Januari sehingga Disember 2019 berbanding 85,130 saman dalam tempoh yang sama pada 2018.

“Kita melaksanakan operasi pada malam ini, sebenarnya dijalankan serentak di seluruh negara, bermula pukul lapan sehingga 12 tengah malam.
“Tujuan utama adalah untuk memastikan pematuhan peraturan jalan raya yang kita tetapkan, supaya sentiasa diikuti oleh semua penguna jalan raya.

“Di sini kita lihat berlaku peningkatan lebih kurang 26 peratus dari segi saman dan ini menunjukkan bahawa masih ramai lagi penguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada satu sidang media selepas menjalankan Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2020 di kawasan Bangsar, di sini, malam tadi.

Dalam operasi tersebut, sejumlah 870 kenderaan diperiksa dengan jumlah saman dikeluarkan sebanyak 352 atas pelbagai kesalahan, selain 20 motosikal disita.

Antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah membabitkan penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, ubah suai nombor pendaftaran serta kesalahan lain.

Saman paling tinggi yang dicatatkan pula melibatkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 6,534 berbanding 5,103 tahun lalu.

Kesemua kesalahan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )