Kerja-Kerja Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara-Selatan Laluan Sedenak – Kulai, Fasa 1 (Pakej A) Sedang Giat Dijalankan

Kerja-Kerja Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara-Selatan Laluan Sedenak – Kulai, Fasa 1 (Pakej A) Sedang Giat Dijalankan

Sedenak, 22 November 2024 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini telah mengadakan tinjauan bagi kerja-kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan laluan Sedenak-Kulai.

Turut hadir pada lawatan kerja tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Ts. Dr. Nadzrol Fadzilah Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi, serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Kerja-kerja bagi laluan Sedenak – Kulai (Fasa 1 – Pakej A) tersebut yang melibatkan kerja- kerja tanah telah giat dijalankan sejak Julai lalu. Kerja-kerja tanah bagi laluan Sedenak – Kulai, (Fasa 1 – Pakej A) ini dijangka akan berterusan di lokasi sehingga suku kedua 2025 untuk arah selatan dan kerja-kerja tanah di laluan tersebut kemudiannya akan beralih ke arah utara pula.

Selepas kerja-kerja tanah ini selesai, kerja-kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi tersebut akan dimulakan secara berperingkat. Kerja-kerja pembinaan lorong tambahan di laluan ini seterusnya dijangka akan mengambil masa kira-kira 24 bulan lagi untuk disiapkan dan dijangka selesai pada suku kedua tahun 2027.

Projek pembinaan lorong tambahan yang akan dilebarkan dari dua lorong ke tiga lorong dari Yong Peng (Utara) ke Senai (Utara) ini merupakan inisiatif pihak Kerajaan untuk menangani kesesakan di wilayah Selatan Lebuhraya Utara-Selatan yang sering berlaku pada waktu puncak, terutamanya semasa cuti umum atau musim perayaan.

Setakat ini, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan ini terbahagi kepada dua Fasa iaitu Fasa 1, laluan Senai (Utara) – Sedenak sepanjang 22 kilometer dan Fasa 2 bagi laluan Sedenak – Simpang Renggam sepanjang 17 kilometer.

Menerusi sidang akhbar semasa lawatan kerja tersebut, YB Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan, “Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi PLUS komited untuk bersama-sama memainkan peranan penting dalam memastikan infrastruktur yang dibina sepanjang lebuh raya dapat memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna. Bagi merealisasikan matlamat ini, pihak kami komited untuk memastikan projek berimpak tinggi ini berjalan dengan lancar, seterusnya menjadi penanda aras baru kepada Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur lebuh raya yang terbaik kepada rakyat.”

Beliau berkata, “Kami percaya, apabila projek penambahan lorong tambahan ini siap sepenuhnya, pengguna lebuh raya akan dapat menikmati keselesaan dan penjimatan masa perjalanan, sekaligus menjadikan pengalaman menggunakan lebuh raya yang lebih baik.”

“Melalui kolaborasi antara KKR, LLM dan PLUS, kami akan terus menyediakan infrastruktur lebuh raya dan meningkatkan tahap perkhidmatan bagi memberikan pengalaman yang terbaik kepada rakyat. Lawatan kerja hari ini adalah langkah kami untuk terus memastikan keselesaan dan keselamatan di lebuh raya Malaysia. Kami yakin, apabila projek ini siap kelak, ia dapat memberi manfaat kepada hampir 100,000 pengguna lebuh raya setiap hari. Selain itu, ia juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi di kawasan-kawasan sekitar seperti Iskandar Malaysia, Senai, Kulai, Sedenak dan Pagoh,” jelas beliau lagi.

Ketika ditemui semasa lawatan kerja tersebut, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, “Pada peringkat ini, kerja-kerja tapak melibatkan pembersihan tapak, kerja-kerja kajian tanah, kerja-kerja tanah, struktur perparitan, penyusunan dan pelan pengurusan trafik. Walau bagaimanapun, kerja-kerja tersebut tidak akan melibatkan penutupan lorong dan dijangka tidak mengganggu aliran trafik sedia ada di kedua-dua arah lebuh raya. Pendekatan ini diambil bagi mengekalkan laluan tersebut terus dibuka kepada pengguna lebuh raya, sekaligus mengurangkan gangguan perjalanan kepada orang ramai di laluan tersebut.”

Projek pembinaan lorong tambahan Fasa 1 bagi Pakej A (Sedenak – Kulai) telah pun dianugerahkan kepada kontraktor tempatan, WCT Berhad, melalui proses tender terbuka.

“Pihak PLUS akan memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan projek ini dari semasa ke semasa terutama apabila kerja-kerja pembinaan lorong tambahan akan mula dijalankan dan melibatkan sebarang kerja-kerja penutupan lorong di lokasi-lokasi terbabit,” tambah beliau.

-Gerbangpost

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )