
Kerja Penyelenggaraan Loji: Gangguan Air Sementara di Rembau 15 April Ini
SEREMBAN, 13 April — Beberapa kawasan di Rembau akan mengalami gangguan sementara bekalan air pada 15 April ini susulan kerja pemasangan Papan Suis Utama (MSB/MCC) serta penggantian kabel kuasa di Loji Rawatan Air Pedas, menurut Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SAINS memaklumkan bahawa gangguan akan bermula jam 8 pagi, 15 April dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi, 16 April.
Antara kawasan yang terlibat termasuk seluruh kawasan Industri Chembong, Taman Dato’ Lela Maharaja, Rumah Rakyat Chembong, Kampung Berkat, Kampung Ampang Batu, Kampung Masjid Tanah, Kampung Chembong Air Hitam, Kampung Rendah, serta institusi awam seperti IKBN Chembong, sekolah, dan balai bomba.
Sekiranya gangguan melebihi 24 jam, langkah kontingensi termasuk penghantaran air menggunakan lori tangki dan tangki statik akan disediakan. Pemulihan bekalan akan dibuat secara berperingkat, dengan kawasan tinggi dijangka pulih lebih lambat.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh hubungi SAINS di talian 1-300-88-6982.