
Kerjasama Bernama Radio, Manis FM bantu usahawan hadapi COVID-19: MB
KUALA TERENGGANU,. Kerjasama yang termeterai semalam antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Husa Network Sdn Bhd bagi menerbitkan program bual bicara radio ‘Khabar Pantai Timur’ amat bertepatan dengan situasi pandemik COVID-19 yang dihadapi kini.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata program bual bicara yang mengetengahkan isu semasa, perniagaan dan keusahawanan itu mampu membantu golongan usahawan menangani wabak berkenaan, terutama dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana, untuk kembali berdiri dan memperkukuhkan perniagaan mereka.
“Program bual bicara itu amat bermanfaat dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat berkaitan keusahawanan. Melalui program ini yang memperkenalkan usahawan dari Pantai Timur, para pelanggan di luar juga akan mendapat maklumat mengenai produk atau perkhidmatan mereka.
“Besar harapan Kerajaan Negeri agar kerjasama antara Bernama dan Husa Network Sdn Bhd adalah satu permulaan bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada masyarakat tetapi juga mendidik rakyat terutama dalam suasana kesukaran kita berdepan pandemik COVID-19 ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Bernama Radio dan Manis FM di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menyampaikan penghargaan dan kagumnya terhadap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mencetuskan idea bagi kerjasama itu.
Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) yang diadakan di Wisma Darul Iman itu menyaksikan Bernama Radio diwakili Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio Bernama) Roslan Ariffin manakala Manis FM diwakili Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor dan Pengurus Operasinya Zaid Talib selaku pihak yang mengendalikan Manis FM.
Acara menandatangani MoU itu disaksikan Ahmad Samsuri, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah, selain turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Ahmad.
Melalui MoU itu, program ‘Khabar Pantai Timur’ yang menampilkan kisah inspirasi usahawan dari Pantai Timur akan ke udara di Bernama Radio dan Manis FM selama 13 minggu pada setiap Khamis jam 7.30 pagi, selama 30 minit bermula 3 September ini.
Selain penerbitan program bual bicara itu, dua petugas ManisFM akan diberi peluang menjalani latihan penghasilan program di Bernama Radio, Wisma Bernama, Kuala Lumpur, manakala Manis FM akan menyiarkan program keusahawanan terbitan Bernama Radio di stesennya.
Sementara itu, Mokhtar berkata program ‘Khabar Pantai Timur’ itu membolehkan suara usahawan dari Pantai Timur bukan sahaja dapat didengari penduduk tempatan malah dapat diperluaskan kepada pendengar Bernama Radio di Lembah Klang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.
“Saya berharap sinergi antara Bernama Radio dan Manis FM ini bukan sahaja memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak, malah menjadikan siaran radio lebih dinamik dan berdaya saing untuk pendengar masa kini dan masa hadapan,” katanya.
MoU itu juga amat bermakna memandangkan ia merupakan kerjasama pertama yang dijalin Bernama Radio bersama stesen radio yang lain.
“Diharapkan kerjasama ini juga merupakan langkah yang baik untuk keseluruhan organisasi Bernama dan dapat lebih menyemarakkan lagi semangat kerja semua warga Bernama,” kata Mokhtar.
Sementara itu Ozarizan berkata dengan kerjasama ini, kandungan dan liputan Bernama Radio dan Manis FM diharap dapat memanfaatkan kedua-dua stesen radio dan masyarakat. — Bernama