Kerjasama Bersatu-Umno Sabah Diteruskan Demi Kestabilan Politik

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO Sabah akan diteruskan demi kestabilan politik di negeri ini.

Naib Presiden BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, beliau sependapat dengan pendirian Umno Sabah untuk meneruskan kerjasama yang ada menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk perpaduan erat demi kestabilan politik.

Beliau berkata, ketika ini, negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar iaitu ekonomi dan pembangunan negara.

“Rakyat menaruh harapan agar pendekatan politik yang diambil merupakan pendekatan yang menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pendirian Umno Sabah harus diterjemahkan ke peringkat nasional untuk membentuk satu gagasan politik yang dapat menjanjikan kestabilan politik menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Pilihan Raya Negeri yang lalu harus dijadikan iktibar bahawa rakyat memilih penjajaran baru yang menjanjikan kestabilan politik negara keseluruhannya.

“Perpaduan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) harus menjadi teras kepada pendekatan dan penjajaran politik yang baru di negara ini,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Perhubungan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan kerjasama antara BERSATU dan UMNO Sabah tidak akan tergugat dengan perkembangan politik yang sedang berlaku di persekutuan.

Beliau berkata, BERSATU akan terus bekerjasama dengan rakan dalam gabungan di Sabah bagi menghormati mandat rakyat yang membolehkan GRS menjadi pemerintah di negeri ini.

Pada Jumaat, Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan Umno negeri memiliki autonomi dan akan meneruskan kerjasama dengan BERSATU serta parti lain menerusi GRS.

-BorneoPost

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )