Kerjasama KPT, syarikat penerbangan manfaatkan pelajar

KUALA LUMPUR,. Bagi membolehkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) termasuk dari Sabah dan Sarawak menikmati tawaran harga tambang istimewa, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjalinkan kerjasama strategik dengan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain membolehkan para pelajar menikmati tawaran harga tambang istimewa, kerjasama ini juga menyediakan kemudahan nilai tambah lain seperti tambahan berat bagasi dan peluang menjadualkan semula tarikh penerbangan secara percuma.

Beliau berkata, KPT sentiasa peka dengan permasalahan pelajar, terutamanya yang melibatkan keperluan menggunakan perkhidmatan kapal terbang bagi pergerakan ke IPT masing-masing.

“Sehubungan itu, KPT turut membangunkan aplikasi web Fly2Campus untuk menyelaraskan maklumat pelajar yang berminat menggunakan perkhidmatan penerbangan untuk perjalanan ke kampus bagi memudah cara kerjasama bersama syarikat penerbangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa lalu.

Sementara itu, untuk memudahkan memudahkan proses permohonan Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU), bantuan ini akan diberikan secara terus kepada penuntut orang kurang upaya (OKU) di IPT tanpa mereka perlu membuat permohonan.

Noraini berkata, bantuan ini akan diberikan secara terus kepada penuntut OKU dan merupakan kaedah baru yang akan dilaksanakan oleh KPT yang mesra OKU.

Beliau berkata, program BKOKU ini menawarkan bantuan kewangan khusus meliputi yuran pengajian dan wang saku kepada OKU yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah.

“KPT pada 26 Ogos lalu juga telah bersetuju untuk meningkatkan kadar bantuan yang telah hampir 17 tahun iaitu sejak tahun 2004 tidak ada sebarang kenaikan.

“Kadar bantuan baharu yang dicadangkan adalah seperti menaikkan kadar bantuan wang saku daripada RM300 kepada RM500 sebulan dan menaikkan kadar maksimum bantuan dengan 100 peratus kenaikan iaitu daripada RM5,000 kepada RM10,000 setahun atau daripada RM20,000 kepada RM40,000 bagi sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Tambah beliau lagi, KPT turut mencadangkan pelaksanaan insiatif baharu iaitu KPT IKHSAN yang merupakan program bantuan kewangan secara sekali beri (one-off) kepada pelajar IPT yang memerlukan seperti bantuan permulaan pengajian, bantuan peranti dan pelan data, bantuan melangsaikan yuran-yuran tertunggak dan sebagainya.

“Inisiatif KPT IKHSAN serta kadar bantuan baharu itu selaras komitmen KPT mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan langkah itu akan dilaksanakan sekiranya mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Menjelaskan penetapan syarat kelayakan penerimaan elaun OKU perlu mendaftar kursus yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Noraini berkata, penetapan syarat kelayakan itu adalah bertujuan memastikan kursus yang diambil oleh pelajar OKU terjamin dari aspek kualiti program pengajian.

“Syarat akreditasi kursus oleh MQA juga adalah bagi memenuhi ketetapan pengiktirafan JPA yang akan menjamin kebolehpasaran para pelajar OKU apabila mereka selesai pengajian kelak bagi mengisi jawatan-jawatan dalam sektor awam.

“Selain itu, syarat ini juga dapat memudahkan laluan pelajar OKU untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi menerusi kemudahan pengecualian kredit,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai diskaun pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Noraini berkata, PTPTN ada menyediakan insentif pengecualian bayaran balik pinjaman kepada peminjam dalam kalangan B40 dan M40 yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

“Menerusi pengumuman Bajet 2022, kerajaan bersetuju memberi diskaun bayaran balik kepada peminjam atas dasar keprihatinan kerajaan.

“Sehubungan itu, peminjam akan mendapat diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual,” katanya.

Bagi memberi lebih ruang kepada pelajar yang kurang berkemampuan, dasar dan pemilihan pelajar ke IPT adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

“Prinsip meritokrasi ini memberi peluang kepada semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi untuk mendapatkan tawaran pengajian. Semua pelajar diberi peluang yang saksama tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal untuk mengikuti pengajian di IPT.

“KPT turut menyediakan laluan khas kemasukan ke Universiti Awam (UA) kepada empat kategori pelajar iaitu OKU, golongan B40, Orang Asli dan atlet sukan.

“Pemohon dari empat kategori ini hanya perlu melepasi syarat am dan syarat khas program seperti yang ditetapkan oleh universiti yang dipilih. Calon akan ditawarkan berdasarkan kesesuaian program yang dipilih dengan kelulusan Senat Universiti,” katanya.

Pada masa sama, Noraini turut memaklumkan bahawa KPT telah mengemukakan semula permohonan projek Politeknik Kota Belud Sabah dipertimbangkan semula.

“Projek politeknik tersebut telah dibatalkan berdasarkan surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 29 Jun 2018.

“Bagaimanapun, KPT telah mengemukakan semula permohonan ini kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri serta telah mengambil inisiatif dengan mengemukakan semula permohonan kepada Perdana Menteri agar projek pembinaan ini dapat dipertimbangkan semula dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Jelas Noraini, penubuhan politeknik atau kolej komuniti hendaklah berasaskan kepada kajian keperluan serta mengambil kira beberapa faktor, antaranya kajian pasaran dan keperluan semasa, peruntukan kewangan, penjawatan kejat, unjuran guna tenaga negara serta keperluan industri setempat.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )