
Kerjasama TNB Dan Sembcorp Power Untuk Majukan Integrasi Tenaga Boleh Baharu Asean
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp), pengimport elektrik berlesen dari Singapura dan anak syarikat milik penuh Sembcorp Industries, mempercepatkan kelestarian tenaga serantau dengan menandatangani Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) hari ini (9 Disember).
Pencapaian ini, yang merupakan sebahagian daripada Skim Jualan Elektrik Rentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE), adalah sejajar dengan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) dan matlamat peralihan tenaga Malaysia. Ia juga memudahkan perdagangan tenaga boleh baharu dengan negara jiran melalui Energy Exchange Malaysia (ENEGEM), yang dikendalikan oleh pihak Single Buyer.
Dalam lelongan tenaga sulung ENEGEM pada Jun 2024, Sembcorp berjaya memperoleh peruntukan 50MW tenaga hijau menerusi Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC). Tenaga hijau yang dijana dari sumber solar dan hidro Malaysia ini, akan disalurkan ke Singapura menggunakan sambungan rentas sempadan Malaysia-Singapura sedia ada, lantas mencatatkan kemajuan dalam integrasi tenaga serantau.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, “Penubuhan ENEGEM dan kejayaan pelaksanaan perjanjian ini mencerminkan komitmen teguh TNB dalam memacu integrasi tenaga serantau dan mempercepatkan pencapaian matlamat tenaga boleh baharu ASEAN. Inisiatif ini meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam perdagangan tenaga hijau serta mempromosikan keterjaminan, kecekapan, dan kelestarian tenaga merentasi rantau ini.”
Grid Kuasa ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Serantau
Inisiatif ini menjadi batu asas APG, yang mempunyai matlamat mewujudkan sistem tenaga yang mampan dan saling berhubung untuk rantau ini. Pada masa ini, kapasiti saling hubung antara Malaysia dan Singapura adalah sebanyak 1,000MW, dengan 300MW diperuntukkan kepada Skim CBES RE dan 200MW untuk Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia- Singapura (LTMS-PIP) Fasa 2.
Perjanjian Sambung Tara Rentas Sempadan (CBPTIA) yang baru ditandatangani antara TNB dan SP PowerAssets Limited pada September 2024 mengukuhkan lagi komitmen untuk membolehkan transaksi elektrik rentas sempadan yang lancar.
Penghantaran pertama tenaga elektrik sebanyak 50MW dalam fasa perintis Skim CBES RE menyerlahkan potensi Malaysia sebagai hab serantau untuk tenaga hijau. Dengan memanfaatkan ENEGEM, inisiatif ini membentuk asas kerjasama yang lebih meluas dan lebih lama, yang akhirnya memacu usaha pelepasan karbon sifar bersih dan memperkukuh keterjaminan tenaga serantau.
“TNB kekal teguh dalam memacu transformasi tenaga ASEAN. Menerusi ENEGEM dan pelaburan grid pintar kami, kami komited untuk menyediakan penyelesaian tenaga lestari dan mencapai aspirasi sifar bersih Malaysia,” tambah Megat Jalaluddin.
Pada majlis menandatangani RESA yang diadakan di Menara PETRA, Putrajaya, TNB diwakili Megat Jalaluddin dan Setiausaha Syarikat TNB, Ali Munawar Salim, manakala Sembcorp diwakili Pengarah Sembcorp Power, Vickrem Vijayan, serta Ketua Bahagian Undang-Undang dan Pematuhan untuk Singapura dan Asia Tenggara, Rachel Yee.
Ia disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Dato’ Mohamad Razif Abd Mubin, Pengarah Bahagian Tenaga di Kementerian Perdagangan dan Industri Singapure Andre Oei, Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara, Koh Khiap Khiong.
Mengenai Tenaga Nasional Berhad
Tenaga Nasional Berhad (www.tnb.com.my) ialah syarikat utiliti Malaysia terkemuka di Asia dengan jejak antarabangsa di United Kingdom, Ireland, Australia, Turkiye, Arab Saudi, Kuwait, Pakistan dan Cambodia. Dalam bidang Tenaga Boleh Baharu setakat Disember 2023, TNB memiliki kapasiti bekalan elektrik berjumlah 3,119MW di Semenanjung Malaysia (termasuk 2,536.1MW hidro besar) dan 1,183MW di UK, Ireland, Australia dan Turkiye yang meliputi penjanaan tenaga solar, angin dan hidro. Di samping menjadi penjana utama elektrik negara, TNB juga mengendalikan penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sehingga 30 Jun 2024, TNB membekalkan elektrik kepada lebih 11 juta pelanggan.
Mengenai Single Buyer
Single Buyer, yang diberi kuasa di bawah Akta Bekala Elektrik (ESA) 1990, dipertanggungjawabkan untuk merancang dan memperoleh (procure) elektrik di Semenanjung Malaysia. Ia memastikan bekalan elektrik yang cekap, berdaya harap dan mampu milik menerusi pembelian tenaga dari Penjana Bebas dan TNB Generation, menguruskan perjanjian penjanaan tenaga, dan mengoptimakan sumber bahan api dan tenaga boleh baharu. Single Buyer juga membuat anggaran permintaan tenaga, perancangan kapasiti jangka panjang, dan jadual penghantaran kos terendah, disamping menyediakan khidmat nasihat teknikal kepada agensi yang berkaitan.
Mengenai Sembcorp
Sembcorp Industries (Sembcorp) adalah peneraju dalam penyediaan penyelesaian tenaga dan pembangunan bandar, didorong oleh misinya untuk memacu peralihan tenaga.
Beribu pejabat di Singapura, Sembcorp menyediakan penyelesaian lestari untuk menyokong peralihan tenaga dan pembangunan bandar dengan memanfaatkan kepakaran sektornya dan rekod prestasi global. Sembcorp mempunyai portfolio tenaga seimbang sebanyak 25.4GW, termasuk 16.0GW kapasiti tenaga boleh baharu secara keseluruhan di 10 negara (Jumlah kapasiti keseluruhan dengan pemilikan penuh aset, termasuk projek yang telah diperoleh, sedang dibina, dan pemerolehan yang sedang dalam proses penyelesaian). Projek pembangunan bandarnya meliputi lebih daripada 14,000 hektar di seluruh Asia dan telah menjana lebih 377,000 peluang pekerjaan serta menarik hampir AS$50 bilion modal pelaburan.
Sembcorp disenaraikan di Papan Utama Bursa Singapura. Ia merupakan komponen saham dalam Indeks FTSE Russell, Indeks MSCI Singapura, Indeks Straits Times serta beberapa indeks kemampanan seperti Indeks FTSE4Good, Indeks iEdge SG ESG, dan beberapa indeks MSCI ESG. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sembcorp.com
-TNB / Gerbangpost