Kes abu mayat Chin Peng: polis buka kertas siasatan

Kes abu mayat Chin Peng: polis buka kertas siasatan

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti tarikh dan laluan masuk abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Ching Peng, ke Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis kontinjen Perak bagi melakukan siasatan berhubung isu itu termasuk mengenal pasti kumpulan atau individu yang membawa masuk abu mayat berkenaan dari Thailand.

“Selain itu, polis juga akan melakukan siasatan bagaimana abu mayat berkenaan lolos ke negara ini,” katanya dalam sidang media harian PDRM di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Meunurutnya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Laporan media dan perbuatan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin PKM berkenaan boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam negara ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, kes abu mayat Chin Peng itu tiada kaitan langsung dengan isu Jalur Gemilang pecah lima yang tular baru-baru ini.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Semalam, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 Sept lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lalu dan dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mayat atau abu mayat Chin Peng tidak akan dibenar dibawa masuk ke negara ini sebagai menghormati keluarga dan waris anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang terkorban ketika PKM melancarkan perang gerila untuk menggulingkan kerajaan ketika itu.

Menurut portal rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, abu mayat dibenarkan dibawa ke Malaysia oleh isteri, suami, keluarga, saudara, rakan dan wakil yang diberi kebenaran oleh ahli keluarganya tanpa memerlukan Permit Mengimport daripada Kementerian Kesihatan.

Pembawa abu mayat hendaklah memaklumkan pegawai kastam yang bertugas di pintu keluar dan masuk negara mengenainya dengan menunjukkan dokumen-dokumen sokongan berkaitan.

Menurut portal itu lagi, mayat atau abu mayat warganegara Malaysia yang meninggal dunia di luar negara boleh dibawa balik ke Malaysia, dan mayat atau abu mayat isteri atau suami yang bukan warganegara Malaysia yang meninggal dunia di luar negara juga boleh dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan persemadian.

Ahli keluarga atau sesiapa juga boleh membawa masuk mayat atau abu mayat bukan warganegara Malaysia dengan syarat mendapat kelulusan dari pejabat kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )