Kes baharu COVID-19 di Sabah meningkat kepada 927

KOTA KINABALU, 26 Okt — Sebanyak 927 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan di Sabah hari ini, meningkat 394 kes berbanding 533 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 532 kes dan daripada jumlah itu, 432 kes adalah daripada kluster Penjara Kepayan.

Ini diikuti oleh daerah Tawau sebanyak 81 kes, Sandakan (64 kes), Kudat (47 kes), Lahad Datu (46 kes), Tuaran (28 kes), Penampang (27 kes) dan Putatan (23 kes).

“Jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 12,745 kes. Sehingga hari ini, seramai 5,476 pesakit dilaporkan telah sembuh manakala 7,164 pesakit sedang menerima rawatan di wad di seluruh negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi negeri Sabah bagi COVID-19 berkata terdapat tujuh kematian akibat pandemik itu direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata terdapat satu kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu kluster Kapor, Kudat yang mencatatkan sebanyak 46 kes.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih di Lahad Datu serta Felda Umas Kalabakan juga dilanjutkan bermula 27 Okt sehingga 9 Nov.

“Bagaimanapun, kelonggaran akan diberikan kepada perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk sekitar membeli barang keperluan asas,” katanya.

PKPD di Taman Mesra dan Taman Mawar, Sandakan pula akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 28 Okt hingga 10 Nov.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )