Kes basikal lajak: Rayuan pemandu wanita didengar Isnin ini

Kes basikal lajak: Rayuan pemandu wanita didengar Isnin ini

KUALA LUMPUR: Rayuan pemandu wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya, Isnin ini.

Menerusi semakan sistem mahkamah, rayuan Sam Ke Ting, 27, akan didengar di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan 3, pada 9 pagi.

Pada 14 April lepas, peguam yang mewakili wanita itu, Muhammad Faizal Mokhtar telah memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar, yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Hakim Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati segala intipati kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah berjaya dibuktikan terhadap wanita itu.

Beliau berkata mahkamah bicara telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan Sam hanya bersifat penafian semata-mata.

Hakim itu berkata mahkamah bicara juga terkhilaf apabila menerima pembelaan Sam yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu keretanya secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)