Kes COVID-19 di China kembali meningkat
BEIJING: China melaporkan 5,280 kes baharu COVID-19 semalam, lebih dua kali ganda daripada jumlah hari sebelumnya dan kiraan harian paling tinggi sejak pandemik bermula. Wilayah timur laut Jilin adalah yang paling teruk terjejas, atau lebih 3,000 kes, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara.
Sejak koronavirus mula mucul di bandar tengah Wuhan pada lewat 2019, China telah berjaya mengatasi wabak berskala besar melalui strategi tegasnya ‘sifar-COVID’, yang merangkumi perintah kawalan pergerakan ketat yang mengurung sebahagian besar populasi di dalam rumah mereka.
Namun semalam adalah hari keenam berturut-turut untuk lebih 1,000 kes baharu direkodkan di negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu. Sekurang-kurangnya 11 bandar dan wilayah di seluruh negara telah ditutup kerana peningkatan terbaru, termasuk hub teknologi selatan Shenzhen, kediaman untuk 17 juta orang.
Saham Hong Kong terjunam sebanyak lebih tiga peratus semalam, meneruskan kejatuhan berpunca daripada teknologi pada hari sebelumnya.
Beberapa penerbangan domestik di lapangan terbang di Beijing dan Shanghai telah dibatalkan pada pagi semalam, menurut data pengesan penerbangan.
Letusan wabak di beberapa kilang Volkswagen Group di bandar Changchun di Jilin turut menyebabkan tiga tapak ditutup kelmarin untuk sekurang-kurangnya tiga hari, kata seorang jurucakap.
Beberapa bandar lain termasuk Shanghai telah menutup kawasan kejiranan dan bangunan tertentu, ketika pihak berkuasa cuba untuk meminimumkan gangguan terhadap kehidupan harian. Namun pegawai kesihatan memberi amaran bahawa sekatan yang lebih ketat akan dilaksanakan.
Gabenor Jilin ketika mengadakan mesyuarat tergempar pada malam kelmarin berjanji akan melakukan segala-galanya untuk mencapai ‘komuniti yang sifar COVID dalam masa seminggu’, lapor media negara.
Penduduk di Jilin, yang terletak di sempadan dengan Korea Utara, telah disekat daripada membuat perjalanan keluar dan masuk di sekitar wilayah itu kelmarin.
– Agensi