Kes COVID-19 di Johor meningkat – Exco
JOHOR BAHRU,. Kes COVID-19 di Johor menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dengan 401,886 kes dilaporkan sehingga 16 Dis lepas.
Pengerusi Jawatankuasa kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata dari jumlah tersebut, sebanyak 398,803 merupakan jangkitan tempatan dan 3,083 merupakan kes import.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 103 pesakit yang disahkan positif COVID-19 dilaporkan masih menerima rawatan di hospital di negeri itu, dengan tiga pesakit dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU).
“Daerah Johor Bahru merekodkan kumulatif tertinggi sebanyak 1,995 kes COVID-19 diikuti Kluang (524 kes), Kulai (487 Kes) dan Batu Pahat (355 kes).
“Kerajaan Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), akan terus memantau situasi perkembangan jangkitan COVID-19, serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ling turut menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan penjagaan kesihatan seperti memakai pelitup muka, selain mengelakkan 3S iaitu tempat sesak, sempit dan sembang rapat.
Beliau berkata individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19, dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan keluarga.
“Pemakaian pelitup muka dikehendaki bagi mereka yang positif COVID atau individu yang berada di fasiliti kesihatan seperti pelawat, penjaga, pesakit dan kakitangan kesihatan.Pemakaian pelitup muka adalah digalakkan bagi golongan berisiko atau bergejala,” katanya.
— BERNAMA