Kes COVID-19 di Thailand lepasi 20,000 kes

Kes COVID-19 di Thailand lepasi 20,000 kes

BANGKOK, 2 Feb — Kes jangkitan COVID-19 di Thailand telah melepasi 20,000 kes hari ini, sejak kes itu mula-mula dilaporkan pada Januari tahun lepas.

Thailand negara pertama di luar China yang melaporkan kes COVID-19, mencatatkan 836 kes baharu COVID-19 dan dua lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu kepada 20,454 kes dan 70 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVId-19 (CCSA) Thaweeslip Wissanuyothin berkata, dua kematian melibatkan seorang wanita Thai berusia 75 tahun dan seorang lelaki Thai berusia 68 tahun. Kedua-dua pesakit itu menghidapi pelbagai jenis penyakit.

Daripada 836 kes baharu COVID-19, beliau berkata 710 menerusi pengesanan kes di mana 688 di Samut Skahon, pusat penularan terkini di Thailand. Sejumlah 109 merupakan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital termasuk seorang bayi berusia 26 hari.

“Sejumlah 17 kes import dilaporkan termasuk tiga warga Thai yang pulang dari Malaysia,” katanya pada taklimat harian COVID-19 hari ini.

Sementara itu timbalan jurucakap Kementerian Luar Negara Natapanu Nopakun berkata, jumlah kes COVID-19 harian akan terus tinggi berikutan kerja-kerja pengesanan kes, yang akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga minggu hadapan.

“Bagaimanapun, ini bukanlah sebab untuk berasa cemas kerana ia menunjukkan kecekapan sistem kesihatan kita dalam mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Sementara itu pihak berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Thailand (FDA) mendedahkan Johnson & Johnson (J&J) kini sedang memohon untuk kelulusan vaksin satu suntikannya, menurut laporan Bangkok Post hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha FDA Dr Surachoke Tangwiwat berkata J&J telah memulakan proses pendaftaran vaksin mereka.

“Syarikat itu diperlukan untuk mengadakan surat-surat berkaitan dan menghantar mereka dalam tempoh 30 hari,” katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

J&J merupakan vaksin ketiga COVID-19 yang memohon untuk didaftarkan dengan FDA Thailand. Dua lagi vaksin merupakan yang dibangunkan AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford dan syarikat farmaseutikal China Sinovac Biotech Ltd.

Bulan lepas FDA Thailand meluluskan pendaftaran untuk kegunaan kecemasan untuk vaksin COVID-19 dibangunkan AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)