Kes pemerdagangan manusia babitkan selebriti: Kertas siasatan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya esok
KUALA PILAH,. Kertas siasatan terhadap seorang selebriti yang dipercayai terlibat dengan kes pemerdagangan manusia akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya esok untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata setakat ini beberapa saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan.
“Siasatan sedang dilengkapkan dan apabila selesai, kita akan rujuk kepada pihak Pendakwa Raya untuk arahan berikutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan penahanan seorang selebriti lelaki berumur 40-an pada 1 Ogos lepas bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri ini.
Selebriti itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari.
Susulan penahanan tersebut, polis menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk menempatkan mangsa di sebuah rumah perlindungan di Johor.
Sabtu lepas, seorang lagi suspek lelaki berumur lingkungan 30-an turut direman sehingga 13 Ogos ini untuk membantu siasatan kes tersebut.
Amran berkata kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA