Kes pengubahan wang haram Zahid Hamidi sama seperti kes SRC Najib – Pendakwaan

KUALA LUMPUR: Pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyifatkan bahawa kes terhadap Presiden UMNO itu adalah sama seperti kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkata ini kerana kedua-dua tertuduh gagal menentukan sama ada wang yang mereka terima sebagai ‘sumbangan’ adalah dari sumber yang sah atau sebaliknya.

Beliau turut membacakan sebahagian penghakiman dalam kes Najib yang menyaksikan bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Katanya Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah memutuskan bahawa sukar untuk dipercayai bahawa Najib tidak tahu atau tidak mengesyaki bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun banknya adalah hasil aktiviti haram.

Harris Ong berkata pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Ahmad Zahid turut berkongsi fakta yang sama dengan kes Najib, contohnya berhubung pemindahan berjuta-juta ringgit daripada akaun Yayasan Akalbudi (YAB) ke akaun pemegang amanahnya iaitu Tetuan Lewis & Co.

Beliau berkata tertuduh juga tidak pernah mengadu mengenai tindakan pengurup wang Omar Ali Abdullah yang menukarkan sejumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek. Semalam, Harris Ong berhujah bahawa Omar Ali sebagai ejen, telah menerima arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan wang terbabit dalam bentuk cek dan selepas itu, menyerahkan cek terbabit kepada Tetuan Lewis & Co.

Beliau juga berkata Ahmad Zahid mempunyai kuasa untuk mengurus dan memanfaatkan wang terbabit dengan membeli saham serta beberapa banglo di Country Height Kajang, Selangor. “Yang Arif, tindakan membeli banglo terbabit tidak ada kena-mengena dengan amal jariah seperti yang didakwa oleh pembelaan.

“Tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa wang terbabit telah dibelanjakan untuk tujuan amal kecuali demi kepentingan tertuduh,” katanya ketika menyangkal hujah pembelaan berkaitan 27 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Ahmad Zahid di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Menyentuh penglibatan firma guaman yang digunakan untuk ‘mengubah wang’ terbabit, Timbalan Pendakwa Raya itu berkata ia adalah isu yang serius dan tidak hanya berlaku di negara ini. Harris Ong berkata pendakwaan telah mengemukakan bukti boleh dipercayai bagi setiap elemen dalam pertuduhan pengubahan wang haram yang tidak goyah meskipun ketika soalan balas.

“Keterangan secara langsung, berdasarkan keadaan persekitaran dan berdokumen yang dikemukakan dalam perbicaraan kes ini mewajarkan tertuduh diperintah membela diri atas semua pertuduhan pengubahan wang haram,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Pendakwaan akan menyambung hujahnya pada 11 Okt ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )