
Kesan berita tular bantu pesakit jantung jalani pembedahan
KOTA BHARU,. Tidak semua berita yang tular di media sosial memberikan impak negatif malah ada yang memberikan kesan positif dan mampu membantu pihak yang sangat memerlukan bantuan membabitkan pembedahan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Seperti kisah Afrizam Drawi@Md Arif, 40, selepas Bernama menyiarkan beritanya memohon bantuan kewangan, berita tersebut tular di media sosial akhirnya beliau berjaya menjalani pembedahan pintasan jantung dan masalah injap pada 15 Dis lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Bayangkan dua hari sebelum masuk wad, saya perlu menyediakan RM15,000 dan wang yang ada memang tidak cukup, tambahan pula permohonan untuk kebajikan tidak mempunyai status lulus atau tidak, akhirnya saya setuju untuk menyiarkan kisah saya memohon bantuan kewangan.
“Sebaik sahaja berita online disiarkan, pertama sekali saya menerima kiriman WhatsApp bersama potongan doa kesembuhan penyakit, malah lebih terharu saya kagum dengan keprihatinan rakyat yang berebut-rebut untuk turut sama menyertai ‘infak’ sedekah serta zakat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Bernama dan seluruh netizen di negara ini yang turut menghulurkan sumbangan meringankan beban ahli keluarganya termasuk yang berniat membantu persediaan persekolahan tiga anaknya termasuk anak sulungnya yang mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa Januari ini.
Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Ahmad Sheikh Dusuki Sheikh Mohamad berkata pada Ogos lalu, sebaik sahaja mengetahui mengenai kesukaran yang dialami Afrizam, pihaknya segera membantu semasa dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
“Saya sokong peranan badan bukan kerajaan (NGO) seperti YKKK bukan sahaja membantu di peringkat awal dari segi kewangan, tetapi juga memainkan peranan memberikan semangat moral kepada pesakit,” katanya.
“Minggu lalu, YKKK dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Negeri Kelantan menyerahkan bantuan beras dan kain batik kepada asnaf dan keluarga Persatuan Sindrom Down Kelantan, juga kepada kaum Cina di bawah Persatuan Cina Muslim Cawangan Kelantan,” katanya.
— BERNAMA