Keselamatan siber lengkapi usaha memacu pertumbuhan ekonomi – PM

KUALA LUMPUR,. Keselamatan siber perlu menjadi keutamaan setiap negara, terutamanya dalam perkara yang mendasari ekonomi dan keselamatan negara berkenaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, isu keselamatan siber telah menjadi antara bidang tumpuan utama kerajaan untuk melengkapkan usaha ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Perkara ini (keselamatan siber) telah menjadi suatu isu dan mana-mana negara didapati tidak akan termampu untuk menangani masalah ini secara sendirian berikutan ancaman siber tidak mengenal batas sempadan dan menjadi semakin canggih serta rumit.

“Kita juga tidak terkecuali dalam memberi penekanan terhadap elemen keselamatan siber dalam setiap inisiatif,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) yang diadakan secara maya, hari ini.

Muhyiddin berkata isu berkenaan juga menuntut kerajaan untuk memberikan perhatian serius berikutan peningkatan ancaman dan jenayah siber, sejak tiga tahun lepas.

“Walaupun jumlah kerugian melibatkan jenayah siber didapati semakin berkurangan sejak tiga tahun lepas, namun fakta berhubung jumlah kes yang semakin meningkat amat membimbangkan. Senario ini semestinya menuntut kerajaan untuk memberi perhatian serius dalam usaha menangani jenayah siber,” katanya.

Perdana Menteri berkata pada tahun 2019 jumlah jenayah siber yang dilaporkan berjumlah sebanyak 3,787 dan meningkat 10 peratus kepada 4,194 pada 2020 dan angka itu terus meningkat pada suku pertama tahun ini, apabila sebanyak 1,300 kejadian jenayah siber dilaporkan.

Muhyiddin berkata, jenayah siber juga menunjukkan peningkatan dan menurut statistik Polis Diraja Malaysia, jumlah jenayah siber yang dilaporkan pada 2019 adalah sebanyak 11,875 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM498 juta.

Katanya, tahun lepas, jumlah kes meningkat kepada 14,229, dengan jumlah kerugian RM413 juta manakala pada suku pertama tahun ini, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 4,327 dengan jumlah kerugian RM77 juta.

Perdana Menteri berkata inisiatif MyDigital yang dilancarkan pada Februari tahun ini adalah untuk mengalakkan semua rakyat Malaysia menceburi digitalisasi dan merebut peluang untuk meningkatkan taraf hidup, mencerminkan komitmen kerajaan ke arah usaha meningkatkan pertahanan negara bagi melindungi persekitaran ruang siber.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )